Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) berkata pihaknya sangat bimbang dengan gesaan Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh agar bekas ketua polis negara Tun Mohammed Hanif Omar disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

"Hakam mengambil maklum dan sangat bimbang dengan gesaan agar pihak berkuasa menyiasat Hanif di bawah Akta Hasutan - berhubung dakwaan beliau bahawa Lim Kit Siang menggesa semenanjung Malaysia dibahagi dua selepas rusuhan kaum 1969," kata presidennya, Gurdial Singh Nijar.

Gurdial berkata gesaan itu bercanggah dengan pendirian persatuan mereka agar Akta Hasutan dihapuskan sepenuhnya.

"Gesaan terbaru ini juga jelas melanggar manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) sendiri untuk menghapuskan Akta Hasutan yang merupakan alat kolonial British untuk menangani pejuang kebebasan seperti Ahmad Boestamam dan tokoh India Mahatma Gandhi.

"Ia juga bercanggah dengan rayuan terhadap mahkamah sebelum ini oleh Ramkarpal untuk menangguhkan kes sementara menunggu kajian Menteri Dalam Negeri berhubung penghapusan Akta Hasutan di Parlimen.

"Anggota parlimen HARAPAN seharusnya sentiasa memegang janji mereka," katanya.

Gurdial juga menegaskan bahawa Akta Hasutan digunakan sewenang-wenangnya, antidemokrasi dan sering disalahgunakan oleh kerajaan sebelum ini.

"Hakam mengulangi gesaan untuk memansuhkan Akta Hasutan dan penangguhan semua kes berkaitan sementara proses pemansuhannya di Parlimen.

"Undang-undang sedia ada sudah cukup untuk memastikan hak asas perlembagaan semua rakyat dilindungi.

"Lim Kit Siang sendiri hanya mahu menggunakan jalan undang-undang sivil berhubung dakwaan fitnah bekas ketua polis negara," katanya.

Hanif pada Khamis lalu dipetik Sinar Harian sebagai berkata bahawa beliau memenjara Lim ketika menjadi ketua polis kerana DAP mahu membahagikan semenanjung Malaysia mengikut kaum.

"Masa itu Parti Perikatan bentuk Barisan Nasional sebab pada masa itu negara kita hampir hancur. DAP pula minta Malaya dibahagi kepada dua.

“Pantai Timur kepada Melayu dan Pantai Barat kepada Cina. Jadi jawapan saya macam mana? Saya masukkan Lim Kit Siang dalam penjara.

"Dua tahun dia dalam tu. Itu cara dia cara Hanif ambil tindakan semasa menjadi Ketua Polis Negara,” katanya dipetik sebagai berkata pada suatu majlis di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam.

Awal hari ini, Ramkarpal mengesahkan menerima arahan daripada Lim untuk meneruskan dengan tindakan undang-undang terhadap Hanif.

"Saya ingin mengesahkan bahawa saya menerima arahan daripada Lim untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap Hanif susulan kegagalannya menjelaskan dan membuktikan dakwaan terhadap DAP," katanya.

[Baca berita asal]