Aktivis pelajar yang dibebaskan daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini diberikan amaran oleh polis agar tidak membuat afidavit (akuan bersumpah) dan mendedahkan siasatan itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) serta akhbar.

"Mereka (pegawai penyiasat) mengajar saya bagaimana bercakap kepada media, apa yang dibenarkan dan apa yang tidak," kata pelajar kejuruteraan Institut Kemahiran Mara (IKM), Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, dalam satu wawancara khas dengan malaysiakini .

Beliau juga mengakui dikasari polis pada hari pertama ditangkap mengikut akta itu di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 5 Julai.

"Saya ditampar di muka beberapa kali," kata beliau, yang dibebaskan selepas 23 hari dalam siasatan polis.

Khairul Anuar berkata, semasa dalam tahanan, beliau banyak menerima ugutan akan dihantar ke kem Kamunting, Perak untuk tahanan lanjut selama dua tahun.

"Mereka juga memberi amaran kepada saya untuk tidak aktif (dalam kegiatan pelajar) lagi," katanya.

'Perjumpaan sulit'

Beliau mendedahkan, polis memberikan beberapa tawaran jika beliau bersetuju membuat pengakuan berhubung beberapa perkara.

"Mereka (polis) kata saya akan tetap dihantar ke (kem) Kamunting... tetapi kalau saya membuat pengakuan mungkin (dibebaskan)," katanya.

Pengakuan itu termasuklah pertuduhan yang pernah beliau terima seperti dalam surat tunjuk sebab yang dikeluarkan IKM, jelasnya.

Dalam surat pada 25 Jun, selepas institut itu menerima hasil siasatan daripada bahagian Cawangan Khas ibu pejabat polis Bukit Aman, Khairul Anuar dituduh pernah menyertai kempen, bersama sembilan pelajar universiti, bagi menyokong Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Damansara pada 18 Februari lalu dengan mengadakan persembahan bacaan sajak, nyanyian dan berpidato.

Pelajar berusia 24 tahun itu juga dituduh menyertai bengkel motivasi reformasi di Kelab Darul Ehsan, Selangor pada 27 Februari lalu bagi "menjayakan agenda untuk menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi."

Khairul Anuar, juga dikenali Jonah, turut dituduh menyertai "perjumpaan sulit" di rumah Presiden Parti Keadilan Nasional Dr Wan Azizah Wan Ismail di Bukit Damansara, Kuala Lumpur bagi "merancang demonstrasi jalanan untuk menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan."

Dituduh rancang reformasi

Selain itu, Jonah dituduh ditugaskan mendapat sokongan siswa untuk menyertai perhimpunan reformasi ketika mesyuarat Pemuda Keadilan di ibu pejabat parti itu di Jalan Damansara, Kuala Lumpur pada 20 Mac.

Jonah memberitahu malaysiakini , beliau diminta mengaku perancang gerakan pelajar antikerajaan dan kumpulan reformasi selepas tangkapan 10 aktivis reformasi dan pemimpin Pemuda Keadilan ditangkap pada April.

"Mereka (polis) menyuruh saya mengaku, (bahawa) selepas kumpulan (Ketua Pemuda) Mohamad Ezam Mohd Nor (ditahan ISA), saya yang merancang gerakan reformasi," katanya.

Ketika dalam tahanan, beliau melalui lebih kurang tujuh jam pertemuan sehari dengan kumpulan penyiasat. "Saya disoal setiap hari hinggalah pada hari saya dibebaskan," katanya.

Tambah Khairul Anuar, beliau disoal berhubung pelbagai perkara termasuklah globalisasi, penubuhan negara Islam, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kebakaran Dewan Tunku Canselor (DTC).

"Mereka meminta pendapat saya dahulu, kemudian mereka memberikan pendapat mereka," katanya. "Mereka mahu saya percaya perkara-perkara tertentu, terutama (berkaitan) isu (akhlak dan perbicaraan) Anwar. Antaranya, polis suruh saya mengaku telah dipergunakan oleh parti pembangkang dan diperalatkan oleh mereka."

'Pemerhati' Cawangan Khas

Menurut anak muda dari Melaka ini, 10 pegawai penyiasat itu dibahagikan kepada dua kumpulan menggunakan pendekatan psikologi dengan peranan berlainan untuk meyakinkannya.

"Mereka bergilir-gilir menyoal saya dan setiap seorang daripadanya mempunyai peranan masing-masing," katanya. "Mereka mulakan soal siasat berhubung aktiviti saya, kemudian selebihnya cuba brainwashing dan turning over (mengubah pendirian) saya."

Polis juga mendakwa ucapan-ucapannya berbahaya dan boleh menghasut orang ramai. "Menurut polis, jika saya meneruskan kegiatan saya selama ini, saya akan dihantar ke Kamunting," katanya lagi.

Aktivis pelajar itu mendedahkan, walau telah dibebaskan 28 Julai, beliau masih menerima kehadiran beberapa "pemerhati" daripada bahagian Cawangan Khas yang memantau pergerakannya.

Menurut Jonah lagi, terdapat anggota keluarganya yang menerima panggilan daripada polis yang mengingatkan mereka agar mengawasi pergerakannya.

"Mereka ada menelefon kakak (saya) dan (mereka berkata, polis) berada di bawah (kelas tuisyen yang dikendalikannya di Bangsar Utama, Kuala Lumpur). Saya anggap ia sebagai satu bentuk gangguan," katanya.

'Meracuni pemikiran pelajar'

Beliau menganggap panggilan itu sebahagian daripada tekanan terhadapnya bagi menyekat beliau kembali aktif bersama kumpulan pelajar yang digelar 'UBU' (Universiti Bangsar Utama).

Jonah memberitahu, ketika disoal siasat, polis mendakwa beliau menggunakan kelas tuisyen itu sebagai tempat untuk "meracuni pemikiran pelajar."

"Tetapi saya tegaskan, kami (UBU) mempunyai prinsip bahawa pelajar-pelajar ini perlu diberikan peluang untuk membuat keputusan dan pendirian mereka sendiri. Sebab itu kita tidak pernah melibatkan (tuisyen) ini dengan mana-mana parti," tegasnya.

"Kelas tuisyen ini untuk pelajar daripada keluarga yang berpendapatan rendah (di kawasan bandar) dan program belajar berkelompok. Ia terbuka kepada semua pelajar tanpa mengira kaum."

Ditanya sikapnya kini terhadap akta itu, beliau berkata, "ISA bertujuan mewujudkan halangan atau menimbulkan rasa takut dalam diri kita."

"(Penangkapan) menjadikan saya lebih bersemangat, matang dan menguatkan lagi tekad saya. Bagi saya hanya anak muda yang mampu melakukan perubahan," tambahnya.

Jonah berkata, beliau bersama lebih kurang 10 penggerak UBU akan meneruskan kegiatan kebajikan seperti dilakukan sebelum ini.

"Tujuan utama UBU ditubuhkan bagi mengembalikan semula semangat berbakti di kalangan mahasiswa dan meningkatkan rasa tanggungjawab kepada masyarakat dan negara," katanya.