Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SKMM: Tiada pemantauan media sosial, e-mel tertentu
Diterbitkan:  Sep 10, 2018 2:40 PM
Dikemaskini: 6:48 AM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata pihaknya tidak menjalankan "pemantauan besar-besaran" terhadap media sosial atau e-mel tertentu.

Pemangku Pengerusi SKMM Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor berkata pihaknya hanya bertindak sekiranya terdapat aduan.

"Sebarang siasatan terhadap kiriman media sosial dan tindakan dibuat sekiranya terdapat aduan atau permintaan daripada agensi penguatkuasaan undang-undang," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Mohd Ali juga menegaskan bahawa kerajaan memegang hak kebebasan bersuara selagi ia tidak melanggar undang-undang.

Kenyataan SKMM itu dibuat selepas dakwaan Tunku Mahkota Johor (TMJ) semalam bahawa kerajaan sedang memantau beliau serta Sultan Johor dengan menggunakan peranti khas buatan Israel.

Menurut kenyataan tersebut, maklumat mengenai pengintipan berkenaan disampaikan kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim oleh individu yang identitinya tidak didedahkan.

TMJ juga menjelaskan ramai tentera siber (cybertrooper) diletakkan di akaun Facebook Sultan Ibrahim serta kelab bola sepak JDT.

Terdahulu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman turut menafikan dakwaan itu dan menjelaskan kerajaan atau pemimpin parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak ada mengeluarkan arahan supaya pengintipan tersebut dijalankan.

Azis juga meminta Tunku Ismail menyalurkan maklumat mengenai perkara itu kepada pihak yang berkenaan supaya boleh disiasat.

"Kerajaan menafikan dan jika benar Tunku Mahkota Johor ada maklumat perkara tersebut, kami minta beliau maklumkan kepada kami," katanya seperti dipetik Sinar Online.

Lihat Komen
ADS