Masa untuk menunaikan janji - kerana itu wakil rakyat Pengkalan Pasir yang baru Hanafi Mamat diberi peruntukan segera lebih RM1 juta bagi membantu rakyat di Pasir Mas.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Annuar Musa yang mengumumkan peruntukan itu hari ini berkata, dana itu untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik terutama dalam soal membaikpulih rumah mereka dan jalan kampung yang tidak sempurna.

Katanya, peruntukan awal itu merupakan tindakan segera Barisan Nasional (BN) sebagai penghargaan kepada pengundi kawasan itu.

Pada pilihan raya kecil pengkalan Pasir pada selasa lepas, Hanafi Mamat diisytihar menang, selepas kiraan semula, dengan majoriti 134 undi untuk merampas kerusi itu yang dipegang Pas selama 15 tahun lalu.

Hanafi, mendapat 7,422 undi, calon Pas Hanifa Ahmad, 7,288 dan calon Bebas Datuk Ibrahim Ali, 415 undi.

Annuar berkata demikian kepada pemberita selepas bersama Hanafi memulakan siri bertemu semula dengan pengundi yang terdiri daripada sekumpulan penarik beca di sini.

Meneurut laporan Bernama, Annuar berkata, beliau akan mengesyorkan kepada kerajaan pusat untuk mengadakan kajian menyeluruh berhubung prospek dan kaedah terbaik memperbaiki pelbagai masalah di Pasir Mas terutama keadaan kesesakan jalan dan sistem perparitan yang teruk.

Beliau mencadangkan supaya sebuah syarikat perunding menjalankan kajian bagi melaksanakan pembangunan yang sistematik bagi menyelesaikan masalah yang ada.

"Kita mahukan idea berhubung pertumbuhan yang menyeluruh untuk menjadikan Pasir Mas sebagai bandaraya stesen keretapi dan pelabuhan darat yang menyediakan perkhidmatan stesen kargo dan laluan keretapi ke selatan Thailand dan negeri-negeri di Pantai Timur", katanya.

Katanya beliau berpendapat dengan prospek itu ia boleh mewujudkan pertumbuhan lanjutan bagi Pasir Mas apabila bandar itu dapat dihubungkan dengan bandar Tumpat.

Katanya beliau juga memohon supaya kerajaan pusat menyelitkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, walaupun drafnya hampir muktamad, satu peruntukan bagi membaiki sistem perparitan yang teruk di Pasir Mas yang dilanda banjir apabila hujan lebat.

Projek lintasan keretapi

Annuar berkata pihaknya memberi tempoh sehingga Jun tahun depan berhubung perkembangan projek lintasan keretapi di pekan Pasir Mas yang telah diluluskan pembinaannya oleh kerajaan negeri.

Katanya BN tetap menghormati kerajaan negeri berhubung projek itu dan akan bekerjasama bagi memastikan projek tersebut dilaksanakan untuk faedah penduduk.

Sementara itu, Hanafi berkata sebagai tugas awalnya, beliau akan memastikan masalah rakyat di sini diselesaikan segera terutama berhubung pembinaan projek lintasan keretapi untuk menangani masalah kesesakan yang teruk.

Menurutnya beliau akan memastikan projek pembinaan lintasan keretapi dimulakan pada Jun depan dan sekiranya masih gagal, Timbalan Perdana Menteri atuk Seri Najib Tun Razak telah memberi jaminan bahawa kerajaan pusat akan melaksanakannya.