Ramkarpal kesal gesa guna Akta Hasutan
Anggota Parlimen DAP Bukit Gelugor Ramkarpal Singh menyatakan rasa kesal kerana menggesa pihak berkuasa menyiasat bekas ketua polis negara Tun Hanif Omar di bawah Akta Hasutan.
"Saya ingin menyatakan bahawa saya tersilap apabila mencadangkan (siasatan di bawah Akta Hasutan) kerana saya juga berpandangan bahawa Akta Hasutan 1948 perlu dimansuhkan selari dengan pendirian parti saya dan yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) kerana akta itu drakonian dan tidak digunakan untuk tujuan sebenarnya.
"Kesilapan ini saya kesali," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun, beliau percaya bahawa siasatan ke atas Hanif di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan masih diperlukan.
Seksyen 505 merujuk kepada "sesuatu kenyataan yang mendatangkan khianat awam". Di bawah Seksyen ini, pesalah boleh dihukum penjara maksumum dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Hanif pada Khamis lalu dilapor berkata bahawa beliau memenjara Lim ketika menjadi ketua polis negara kerana DAP mahu membahagikan semenanjung Malaysia mengikut kaum.
Hanif merupakan ketua polis negara dari Jun 1974 hingga Januari 1994. Pada 1987, Lim dipenjara 17 bulan tanpa perbicaraan di bawak Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.
Ramkarpal menyifatkan kenyataan Hanif berunsur "hasutan" dan "berniat melaga-agakan kaum Melayu dan Cina".
Susulan itu, kumpulan hak asasi manusia membidas gesaan Ramkarpal untuk penggunaan Akta Hasutan 1948 itu. Akta berkenaan sering dikatakan digunakan oleh BN untuk menyekat seteru politik mereka.
DAP melalui kenyataan timbalan pengerusinya, Gobind Singh Deo hari ini telah menegaskan pendirian parti mereka berhubung pemansuhan Akta Hasutan selari dengan janji dalam manifesto HARAPAN.

