Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

PAS Selangor berkeyakinan besar kemungkinan kerusi Pandan akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke parlimen dan mengarahkan jentera partinya di kawasan itu untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil (PRK).

"Antara yang kita rasa akan dikosongkan ialah Pandan. Kerana di parlimen Pandan, (Datuk Seri) Dr Wan Azizah Wan Ismail, jadi untuk pastikan mungkin Anwar Ibrahim akan naik jadi timbalan perdana menteri.

"Pandan yang dirasakan antara yang paling sesuai. Takkan nak kosongkan kerusi orang lain sedangkan isteri dia sendiri sebagai ahli parlimen," kata Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan yang dikeluarkan Yang Dipertua PAS kawasan Pandan, Datuk Iskandar Samad yang mengarahkan semua jentera di Pandan bersedia untuk kemungkinan menghadapi pilihan raya dalam masa terdekat ini.

Sallehen berkata walaupun terdapat beberapa kerusi yang PAS jangka akan dikosongkan untuk Anwar bertanding, parti Islam itu percaya besar kemungkinan Pandan yang akan dipilih.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan PAS mengeluarkan arahan bukan sahaja untuk jentera parti di Pandan tetapi juga di beberapa kawasan lain seperti Petaling Jaya.

"Malah di Petaling Jaya pun, kita minta supaya ahli bersiap sedia, cuma ada yang kita buat statement, ada yang kita tak buat statement," katanya.

Menurut beliau, sebagai persediaan parti itu telah memberikan arahan dalaman untuk jentera bersiap mengatur mesyuarat, logistik, bahan-bahan dan dana kewangan.

Sebelum ini, laporan mengesahkan Anwar yang terpilih sebagai Presiden PKR akan mengumumkan kerusi yang bakal ditandingi selepas Rabu minggu hadapan.

Anwar dijangka menggantikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa beberapa tahun tetapi untuk berbuat demikian, beliau perlu menjadi anggota parlimen terlebih dahulu.

Cakap-cakap mengenai kerusi parlimen yang akan dikosongkan bagi memberi laluan pilihan raya kecil diadakan supaya Anwar dapat bertanding telah tersebar luas. Sementara, beberapa anggota parlimen PKR dilaporkan menawarkan kerusi mereka.

Parlimen Pandan, yang menyaksikan pertandingan lima penjuru pada pilihan raya umum lalu, terdiri daripada penduduk Melayu dan Cina yang sama rata banyaknya, masing-masing 46 peratus, dengan kaum India membentuk tujuh peratus lagi dan satu peratus bagi lain-lain kaum.

Wan Azizah mendapat mendapat 64,733 undi dan menang kerusi itu dengan majoriti 52,543 undi manakala MCA memperolehi undi tertinggi kedua dengan 12,190 undi.

Sebelum pilihan raya umum 2013, Pandan dianggap sebagai kubu kuat MCA dan veteran parti itu Datuk Seri Ong Tee Keat.

Bagaimanapun, Ong tidak bertanding di Pandan pada tahun 2013 dan naib presiden PKR Rafizi Ramli menang kerusi itu dalam pertandingan menentang calon MCA lain.

Lihat Komen
ADS