Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tahniah, kata Saifuddin lepas PAS gerak jentera ke Pandan
Diterbitkan:  Sep 11, 2018 3:41 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengucapkan tahniah kepada PAS kerana menggerakkan jenteranya bagi menghadapi pilihan raya kecil di Pandan.

Kata Saifuddin disebabkan arahan dikeluarkan pimpinan PAS parti itu bolehlah bekerja dari sekarang di kawasan terbabit untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15 kira-kira lima tahun lagi.

Pada masa sama kata Saifuddin, kerusi parlimen Pandan tidak akan dikosongkan untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat melalui pilihan raya kecil.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu menambah, kerusi yang akan dikosongkan untuk Anwar akan diumumkan di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya esok.

"Pukul 11 pagi esok saya akan keluarkan ‘press alert’ mengenai pengumuman ini," katanya seperti dipetik Bernama di Bandar Baharu, Kedah hari ini.

Anwar ditetapkan untuk menjadi perdana menteri kelapan menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad melalui persetujuan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (HARAPAN).

Untuk membolehkan ia berlaku Anwar mesti menjadi anggota parlimen terlebih dulu.

Mula kerja keras

Ada beberapa kerusi disebut-sebut akan dikosongkan oleh anggota parlimen PKR bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

Semalam Malaysiakini melaporkan PAS Selangor yakin ada potensi besar kerusi Pandan akan dikosongkan untuk Anwar.

Kerusi itu kini diwakili Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar.

"Pandan yang dirasakan antara yang paling sesuai. Takkan nak kosongkan kerusi orang lain sedangkan isteri dia sendiri sebagai ahli parlimen," kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi kepada Malaysiakini.

Sebelum itu Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Samad mengeluarkan arahan supaya semua jentera parti itu di Pandan digerakkan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya kecil tidak lama lagi.

Bagaimanapun hari ini The Star melaporkan kerusi yang akan dikosongkan buat Anwar itu berada di Negeri Sembilan.

Untuk rekod PKR hanya mempunyai satu kerusi parlimen di Negeri Sembilan, iaitu Port Dickson yang kini diwakili Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Kerusi parlimen Pandan pula menjadi salah satu kawasan paling selamat buat PKR kerana mencatat majoriti yang sangat selesa sejak beberapa penggal lalu

Saifuddin yang juga anggota parlimen Kulim - Bandar Baharu berkata jentera PAS boleh bekerja keras untuk memenangi hati rakyat di kawasan Pandan menjelang PRU ke-15 nanti.

"Saya ucapkan tahniah kepada PAS atas kerja keras mereka," katanya.

Lihat Komen
ADS