Umno gesa Rina tonjol kebolehan diri sebelum pertikai Annuar
Pemuda Umno Kelantan menempelak Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun susulan kenyataan mempertikaikan kewibawaan Tan Sri Annuar Musa menerajui Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebelum ini.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata selaku menteri, Rina sepatutnya menonjolkan kebolehan sendiri sebelum mempertikai rekod lampau dan kebolehan orang lain.
"Fokus beliau sepatutnya kepada masyarakat luar bandar yang majoritinya berpendapatan rendah dan perlukan pembelaan pihak Kerajaan, sebagaimana golongan ini sangat diberi perhatian oleh Kerajaan BN.
"Sebaliknya yang berlaku ialah satu persatu bantuan kepada golongan ini ditarik oleh kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) masa kini.
"Harga getah menjunam, harga sawit semakin jatuh, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dimansuhkan dan banyak lagi," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan Rina yang juga anggota parlimen Titiwangsa berkata MARA tidak akan diterajui individu seperti Annuar sebaliknya oleh golongan profesional.
"Kita bukan mahu pilih macam orang Annuar lagi. Kita akan pilih orang yang berkualiti, pilih orang profesional yang boleh pastikan hasrat kita agar MARA lebih dimartabatkan," katanya.
Sementara itu, Noor Hariri menggesa agar Rina lebih fokus terhadap tugasnya sebagai menteri dan turun ke bawah bagi menyelami hakikat yang dirasai rakyat pada masa kini.
"Sebaliknya bukannya dengan menggunakan kerusi empuk yang diduduki untuk membuat fitnah semata-mata sebagai langkah populis meraih perhatian rakyat di atas cercaan kepada orang lain.
"Ini dilihat tidak lebih sekadar ingin menutup kelemahan sendiri dengan terus menerus menuding jari ke arah pihak lain. Nampak seolah minda pembangkang masih dominan dalam jatidiri pemimpin HARAPAN hari ini," jelasnya.
Tambahnya, Pemuda Umno Kelantan berpandangan Rina juga tidak layak menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar kerana pelbagai faktor.
"Ini termasuklah kemenangan beliau dalam pilihan raya umum lalu adalah dalam kawasan tengah-tengah bandaraya, bukannya di kampung atau luar bandar, menjadikannya cetek pengalaman dengan isu-isu luar bandar.
"Selain itu, tiada apa-apa idea baru daripada Rina sejak menerajui Kementeri Pembangunan Luar Bandar melainkan fitnah dan cercaan ke atas pemimpin BN," kata Noor Hariri.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.