Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
KJ saran BN letak ADUN Linggi lawan Anwar
Diterbitkan:  Sep 12, 2018 3:22 PM
Dikemaskini: 9:22 AM

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mencadangkan supaya BN meletakkan ADUN Linggi, Datuk Abdul Rahman Mohd Redza pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson akan datang.

Linggi adalah salah satu daripada lima kerusi Dewan Undangan Negeri di kawasan Parlimen Port Dickson. Ia juga adalah kerusi yang tidak pernah BN tewas sebelum ini.

Khairy, yang mewakili BN di Rembau - kerusi yang terletak bersebelahan di tenggara Port Dickson - berkata Rahman masih muda dan adalah lulusan London School of Economics.

“Kalau calon tempatan, orang yang paling sesuai, bagi saya, ialah YB Rahman Redza, ADUN Linggi. Masih 40an. Seorang peguam lulusan London School of Economics. ADUN dua penggal dengan prestasi yang baik,” ciapnya di Twitter.

Khairy berkata walaupun terdapat cadangan supaya Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan berdepan demgan Anwar, beliau berkata bahawa calon tempatan adalah lebih baik.

“Ramai cadangkan nama @tokmatn9 (Mohamad Hassan) sebagai calon BN. Saya ada sedikit pengalaman politik di Nismilan.

“PD atau dulu Teluk Kemang lebih baik diwakili calon tempatan. Walaupun sukar untuk BN menang, lebih baik calon local,” katanya.

Terdahulu hari ini, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Port Dickson untuk membuka jalan supaya pilihan raya kecil dapat diadakan.

Pada PRU lalu, Danyal mendapat 36,225 undi untuk menewaskan calon BN V Mogan (18,515) dan calon PAS Mahfuz Roslan (6,594).

Langkah PRK itu bertujuan untuk membolehkan PKR meletakkan calon presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan semula mandat daripada rakyat untuk kembali ke Parlimen.

Anwar adalah ahli parlimen Permatang Pauh sehingga dirinya didirinya didapati bersalah kerana kesalahan liwat II pada Februari 2015.

Beliau ditetapkan untuk menjadi perdana menteri kelapan menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad melalui persetujuan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (HARAPAN). Tetapi untuk membolehkan ia berlaku beliau mesti menjadi anggota parlimen terlebih dulu.

Pemuda Umno Kedah syor BN tak tanding di PD

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Umno Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri dalam satu kenyataan media mencadangkan BN supaya tidak meletakkan calon pada PRK itu.

Katanya, cadangan supaya tidak meletakkan calon itu bukan bermaksud BN mengangkat bendera putih sebelum berjuang tetapi satu manifestasi untuk tidak melayan keegoaan seorang ahli politik yang rakus mengejar kuasa.

“PRK Parlimen Port Dickson sama sekali berbeza kerana penyandangnya meletak jawatan semata-mata bagi memberi laluan kepada Anwar sedangkan tiga PRK sebelum ini disebabkan wakil rakyatnya meninggal dunia.

“Daripada membuat masa terhadap PRK yang hanya berpusat kepada Anwar dan hanya membazirkan wang rakyat disebabkan permainan politik, lebih baik BN menumpukan perhatian terhadap usaha mengukuhkan parti serta Perhimpunan Agung Umno yang bakal berlangsung hujung bulan ini,” katanya.

Pemimpin yang terkenal dengan kelantangannya itu berkata, lebih baik membiarkan Anwar mendapat kemenangan percuma atau menghadapi pertandingan dengan parti lain yang sememangnya bertujuan untuk merealisasikan impiannya untuk menjadi perdana menteri.

“Kemenangan atau kekalahan Anwar tidak akan memberi sebarang impak kepada kem pembangkang, jadi biarkan sahaja.

“Kita selaku pihak pembangkang jangan terlalu fokus terhadap hal ehwal PKR,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS