Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Langkah PD: PKR optimis di sebalik trend peratus keluar mengundi rendah

Di sebalik trend peratusan keluar mengundi yang rendah untuk PRK pasca PRU ke-14, PKR tetap optimis dengan peluang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menang di Port Dickson.

Tiga PRK yang dijalankan - Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong - menyaksikan peratus keluar mengundi kurang 50 peratus.

Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli berkata faktor itu akan diambil kira tetapi tidak akan menjadi sebab untuk menghalang rancangan PRK daripada diteruskan.

"(Pengarah pilihan raya PKR) Nurul Izzah Anwar akan memberi lebih perhatian dalam mobilisasi bagi memastikan lebih ramai keluar (mengundi)," katanya semasa sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Sidang media itu bertujuan mengumumkan keputusan Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk mengosongkan kerusi itu.

Pada PRU lalu, Danyal berdepan calon BN dan PAS di kerusi itu dan menang dengan majoriti 17,710 undi.

'Tetap kerusi selamat'

Walaupun majoriti 17,710 boleh dianggap sebagai satuk kemenangan besar, Port Dickson mungkin tidak boleh dianggap sebagai "kerusi selamat" jika mengambil kira keadaan politik semasa.

Ini berikutan peratusan keluar mengundi yang amat rendah pada tiga PRK lepas serta kerjasama Umno dan PAS.

Misalnya, dalam PRK Seri Setia yang mempunyai jumlah pengundi yang sedikit rendah berbanding Port Dickson, PKR menyaksikan majoritinya berkurang daripada 19,732 undi kepada 4,207 undi, dan peratusan undi yang dimenanginya menurun daripada 66.6 peratus kepada 58.6 peratus.

Di Port Dickson pula, PKR mendapat 59.1 peratus daripada keseluruhan undi pada PRU lalu.

Bagaimanapun Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail yakin kawasan parlimen itu masih kerusi selamat memandangkan ia dipegang PKR sejak 2008.

sementara itu Rafizi turut menyangkal tanggapan Anwar tidak mempunyai sokongan pengundi bukan Melayu.

Beliau berkata bawah kepimpinan Anwarlah pembangkang dahulu mendapat sokongan besar orang bukan Melayu pada PRU 2008 dan 2013.

Pengundi Port Dickson merangkumi 45 peratus pengundi Melayu dan 55 peratus pengundi bukan Melayu (Cina 33 peratus, India 22 peratus).

Lihat Komen
ADS