Kerajaan negeri hari ini digesa menutup semua ladang babi di negeri ini kerana ternakan itu tidak membawa sebarang kebaikan, malah mengundang pelbagai masalah termasuk pencemaran bau, air dan penyakit kepada orang ramai.

Jasmin Mohamed (BN-Sungai Dua) berkata, jalan terbaik untuk mengatasi masalah pencemaran yang disebabkan oleh najis babi ialah menutup ladang ternakan itu.

Ketika membahaskan Usul Rang Undang-Undang Perbekalan dan Anggaran Pembangunan 2006 di persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, beliau berkata, wakil rakyat sering menerima aduan orang ramai mengenai pencemaran sungai yang disebabkan oleh najis babi.

Katanya, pencemaran sungai menjejaskan pendapatan nelayan sungai di Seberang Perai manakala di beberapa kawasan perumahan pula terutama di Seberang Perai Utara, kini dicemari bau busuk sehingga orang ramai tidak lagi boleh makan pada waktu itu.

Menurut laporan Bernama , Jasmin berkata, penutupan ladang babi tidak akan menjadi masalah kepada mereka yang memakan dagingnya kerana ia boleh diimport manakala pengusahanya ditawarkan menjalankan perniagaan lain.

Hukuman lebih berat

"Kerajaan telah berusaha pelbagai cara untuk mengatasi masalah pencemaran yang disebabkan oleh najis khinzir, namun semuanya tidak berkesan dan cara yang terbaik sekarang ialah kita arahkan supaya semua ladang ternakan babi ditutup," katanya.

Jasmin turut menggesa hukuman lebih berat dikenakan ke atas pesalah zina dan murtad memandangkan undang-undang sekarang terlalu ringan, menyebabkan orang ramai tidak takut untuk melakukan kesalahan itu.

Selain itu, hukuman terhadap pesalah yang mengajar dan mengamal ajaran sesat juga ringan di samping perbicaraan yang menyulitkan sehingga seorang guru ajaran sesat yang ditangkap beberapa tahun lalu meninggal dunia sebelum perbicaraannya habis.

Datuk Abdul Jalil Abdul Majid (BN-Penanti) pula meminta kerajaan memperbanyakkan pembinaan rumah kos sederhana untuk bumiputera memandangkan kaum itu sering ditawarkan rumah kos rendah sahaja.

"Bila bercakap soal rumah, kita sering mengaitkan rumah kos rendah untuk bumiputera sedangkan ramai orang Melayu kini mampu membeli rumah-rumah kos sederhana seperti rumah teres tetapi tidak ditawarkan kerana kurang pembinaannya," katanya.