Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak mungkin menurunkan calon wanita dalam usaha merampas kerusi Pending daripada Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya negeri akan datang.

Calon berkenaan, Violet Yong mengesahkan bahawa parti itu memberikan mandat kepadanya untuk mencabar calon BN tetapi tidak menolak kemungkinan berlakunya perubahan saat akhir terhadap barisan calon parti tersebut.

"Setakat ini, saya pasti keputusan itu muktamad, melainkan terdapat perubahan pada saat akhir, maka saya perlu patuh kepada keputusan parti," kanyata kepada Bernama hari ini.

Menteri Muda Kebudayaan dan Urbanisasi Datuk Sim Kheng Hui daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) merupakan penyandang kerusi tersebut.

Yong, pendatang baru dalam arena politik Sarawak berkata, beliau bersedia menghadapi Sim, seorang ahli politik veteran.

Serah pada pengundi

"Sukar untuk diperkatakan kerana kita tidak boleh begitu mudah meletakkan peratusan...saya serahkan kepada para pengundi untuk membuat keputusan," katanya mengenai peluangnya untuk memenangi kerusi tersebut.

Yong yang merupakan ahli jawatankuasa (hal ehwal wanita) DAP berkata, beliau selesa bertanding di kawasan pilihanraya itu kerana dibesarkan di situ dan telah biasa dengan masyarakat setempat.

"Ini salah satu kelebihan saya... saya rasa seperti di rumah sendiri dan selesa bertanding dalam kawasan pilihan raya ini," katanya.

Selain Yong, DAP juga akan menurunkan Bendahari Agungnya Voon Lee Shan untuk bertanding di Batu Lintang manakala Setiausaha parti Chong Chien Jen, yang juga Ahli Parlimen Kuching dijangka bertanding di Kota Sentosa.