Dua buah bank perdagangan di Taman Melaka Baru di Batu Berendam dekat bandar Melaka menerima panggilan telefon dengan ugutan bom sekiranya jumlah wang yang dipinta tidak dijelaskan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Supt Ariffin Sutan berkata, kedua-dua panggilan itu diterima pada jam 3.55 petang dan 4.05 petang.

"Dua panggilan daripada seorang lelaki dan seorang wanita diterima oleh pengurus bank berkenaan dan mereka meminta sejumlah wang atau diugut bangunan akan diletupkan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Menurut laporan Bernama , beliau berkata, unit pemusnah bom dari Ibu Pejabat Polis Melaka Tengah dengan enam anggota dihantar ke bank berkenaan untuk pemeriksaan.

"Setelah pemeriksaan dilakukan sehingga 6.30 petang, kami dapati kedua-dua bank itu selamat untuk meneruskan operasi mereka," katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan menerusi panggilan telekomunikasi dan siasatan akan dilakukan sama ada kedua-dua pemanggil itu mempunyai kaitan.

"Kami juga menempatkan anggota kami di bank-bank di Melaka Tengah sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Ariffin berkata kejadian ugutan kepada kedua-dua bank itu merupakan kes pertama yang dilaporkan tahun ini.