Terjemahan Kempen membantah pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris turut mendapat sambutan daripada kalangan masyarakat India di Malaysia.

Lebih 300 perwakilan empat pertubuhan Tamil peringkat kebangsaan dijangka menghadiri Persidangan Membantah Pengajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris anjuran Dong Jiao Zong (DJZ) di Kajang Kajang esok, untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap dasar tersebut.

Dalam satu kenyataan bersama semalam, empat pertubuhan Tamil menyatakan sokongan mereka terhadap perjuangan DJZ menggesa kerajaan supaya mengkaji semula dasar tersebut.

Empat pertubuhan itu ialah Majlis Belia India Malaysia, Persatuan Dravidia Malaysia, Yayasan Pembangunan dan Penyelidikan Pendidikan Tamil Malaysia (MTERDF) dan Kumpulan Rakyat Prihatin. Mereka akan menghantar kira-kira 300 perwakilan ke persidangan tersebut.

Dan Dong Jiao Zong (DJZ) gabungan Persekutuan Lembaga Persatuan Sekolah Cina (Dong Zong) dan Persatuan Guru Cina Malaysia (Jiao Zong) merupakan kumpulan paling lantang membantah pelaksanaan dasar tersebut.

Mutu merosot

Presiden Majlis Belia India Malaysia, A Rajaretnam berkata, prestasi murid sekolah Tamil telah merosot sejak dasar penggunaan bahasa Inggeris dilaksanakan tiga tahun lalu.

Beliau menolak dakwaan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu bahawa dasar tersebut telah berjaya meningkatkan pencapaian murid sekolah aliran Tamil.

"Itu dakwaan MIC, tetapi setakat manakah kebenarannya," katanya ketika dihubungi.

Kementerian Pelajaran telah mempertahankan dasar tersebut, dengan menyatakan murid dari pelbagai aliran bahasa, telah mencapai keputusan yang lebih baik selepas pelaksanaan dasar tersebut.

Bagaimanapun, Rajaretnam yang merupakan seorang guru sekolah menengah, merasakan pihak kementerian telah menyembunyikan masalah sebenarnya.

"Saya percaya pihak kementerian tidak memberitahu gambaran sebenarnya, mungkin benar (prestasi murid meningkat) di kawasan bandar di mana para ibubapa fasih berbahasa Inggeris, tetapi bagaimana dengan sekolah di luar bandar?" katanya.

Beliau memberi contoh sebuah sekolah rendah Tamil yang ditukar ke aliran Melayu pada tahun 1972.

"Kadar kelulusan pelajar aliran Tamil di sekolah itu mencapai 75 peratus dalam peperiksaan kerajaan, tetapi ia jatuh kepada 0 peratus selama 12 sejak selepas ia ditukar ke aliran Melayu," katanya.

"Jumlah murid yang berjaya memasuki universiti juga telah merosot dari tiga hingga empat orang setahun, kepada hanya tiga orang dalam tempoh 22 tahun," tambahnya.

Rajaretnam menyokong penggunaan bahasa Inggeris di sekolah menengah tetapi mahu murid sekolah rendah dibenarkan mempelajari matapelajaran tersebut dalam bahasa ibunda mereka, dan pada masa yang sama, mereka diperkenalkan kepada istilah-istilah Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Kesan kritikal

Presiden MTERDF M Manogaran pula berkata pertukaran bahasa itu telah memberi kesan yang kritikal terhadap sekolah-sekolah Tamil di kawasan luar bandar.

"Ramai guru di sekolah-sekolah berkenaan masih mengajar matapelajaran itu dalam bahasa Tamil kerana murid-murid tidak faham bahasa Inggeris. Masalah timbul apabila mereka menduduki peperiksaan kerajaan yang diadakan dalam bahasa Inggeris.

"Dalam jangka panjang, taraf sosial dan ekonomi masyarakat Tamil akan terjejas kerana ramai pelajarnya keciciran kerana gagal dalam dua matapelajaran tersebut," tambahnya.

Mereka mendakwa, kerajaan menempatkan bukan guru Tamil di sekolah Tamil untuk mengajar dua matapelajaran tersebut, tanpa memberi alasan yang munasabah.

"Kedaan ini telah menimbul kebimbangan di kalangan masyarakat Tamil kerana mereka takut ia akan mengubah identiti sekolah-sekolah Tamil," kata Manogaran.

"Ibu bapa mempunyai hak untuk memilih aliran pendidikan untuk anak-anak mereka. Daripada mengganggu kita (dengan pelaksanaan dasar itu), kita berharap kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki dan meningkatkan lagi kemudahan di sekolah-sekolah Tamil," tambahnya.

Menurut Manogaran, pertubuhannya merancang untuk menemui pihak kementerian dan perdana menteri berhubung isu tersebut memandangkan ia gagal ditangani oleh MIC.

'MIC tidak peduli'

Sementara itu, Presiden Persatuan Dravidia Malaysian, Muthiah Sundaram mendakwa, banyak guru dan pengetua sekolah Tamil menyedari masalah tersebut, tetapi enggan menyuarakannya kerana mereka adalah kakitangan awam.

"Banyak ibubapa tidak setuju dengan dasar itu tetapi mereka memilih untuk berdiam diri kerana MIC memberitahu mereka bahawa jika membantah keputusan kerajan itu, masyarakat India akan kehilangan segala-galanya di negara ini, malah boleh mencetuskan konfrontasi antara kaum.

"Ramai pemimpin MIC adalah dari kalangan kelas pertengahan di mana anak-anak mereka tidak belajar di sekolah Tamil. Jadi mereka tidak penduli, mereka tidak kisah (mengenai pertukaran bahasa itu)," katanya.

Menurut Muthiah, sekolah-sekolah Tamil telah kehilangan indentitinya dengan pelaksanaan dasar tersebut.

Ditubuhkan pada tahun 1946, Persatuan Dravidia Malaysia merupakan pertubuhan kebangsaan kaum India paling tua, dengan lebih 7,000 keahlian. Samy Vellu pernah menjadi ahli persatuan tersebut. Berita asal