Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Langkah PD: Ada apa-apa masalah ke? soal Wan Azizah

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tidak melihat sebarang amalan nepotisme di sebalik keputusan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertanding pada Pilihan Raya kecil Parlimen Port Dickson.

Bercakap dalam nada sinis, Wan Azizah tidak melihat sebarang masalah sekiranya tiga ahli keluarganya menjadi anggota parlimen negara memandangkan mereka dipilih oleh rakyat.

“Ada apa-apa masalah ke? Sebab saya ingat kita dipilih oleh rakyat,” katanya kepada pemberita di ketika membuat lawatan di Orphancare, Petaling Jaya, hari ini.

Presiden PKR itu ditanya sekiranya terdapat amalan nepotisme memandangkan beliau dan anaknya Nurul Izzah sudah menjadi anggota parlimen dan dalam masa yang sama, Anwar juga akan bertanding PRK nanti.

Semalam, Anggota Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan bahawa beliau mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di kawasan Parlimen itu.

Keputusan itu menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pelbagai pihak termasuk penyandang Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang mengkritik pendekatan yang diambil.

Katanya, "sesetengah pemimpin PKR yang dangkal" memutuskan untuk mengosongkan kerusi berkenaan.

Malah ada di antara netizen yang mahukan Anwar tunggu dahulu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mengulas kritikan itu, Wan Azizah mempertahankan keputusan Anwar yang mahu bertanding dengan menyifatkan suaminya itu dinafikan peluang untuk berada di Dewan Rakyat sejak sekian lama.

“Dia dah dipenjara 10, 11 tahun dan sekarang apa maksud kamu dan kamu nak cakap pasal tak sabar?

“Ini adalah masa terbaik dan dia masih nak bagi sumbangan (pada rakyat) dan dulu dia dinafikan peluang untuk berada di parlimen, (peluang itu) dah diambil,” katanya dalam nada yang tinggi tetapi tetap tenang sebelum bergegas meninggalkan sidang akhbar itu.

Ini kali ketiga Pilihan Raya Kecil terpaksa diadakan semata-mata untuk membuka laluan kepada Anwar atau keluarganya bertanding.

Pada Julai 2008, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding pada pilihan raya kecil di kerusi parlimen berkenaan.

Pada 2014, dengan 'Langkah Kajang', ADUN Kajang dari PKR Lee Chin Cheh meletak jawatan bagi memberikan laluan kepada Anwar untuk bertanding dan menjadi menteri besar Selangor bagi mengantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bagaimanapun ini tidak menjadi kenyataan apabila Anwar dihadapkan ke mahkamah dan Dr Wan Azizah pula bertanding di Kajang. Hasrat isteri Anwar menjadi menteri besar juga tidak kesampaian apabila tidak mendapat persetujuan PAS. Sebaliknya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai menteri besar baru.

PRK Port Dickson bertujuan untuk membolehkan PKR meletakkan Anwar untuk mendapatkan semula mandat daripada rakyat untuk kembali ke Parlimen.

Beliau ditetapkan untuk menjadi perdana menteri kelapan menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad melalui persetujuan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (HARAPAN). Tetapi untuk membolehkan ia berlaku beliau mesti menjadi anggota parlimen terlebih dulu.

Lihat Komen
ADS