Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shafee: RM9.5j adalah bayaran khidmat guaman untuk BN

Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa beliau menerima RM9.5 juta daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai bayaran khidmat guaman untuk BN dan Umno.

Malah, Shafee berkata jumlah sebenar boleh jadi lebih tinggi kerana bayaran itu tertangguh sejak Tun Dr Mahathir Mohamad kali pertama menjadi perdana menteri sehingga Najib mengambil alih.

"Saya menerima RM9.5 juta dalam dua bahagian kerana saya telah melakukan tugas (guaman) untuk BN dan Umno sejak era Dr Mahathir dan saya tidak pernah dibayar.

"Ini kerana dua-dua pihak tidak saling mengingatkan (tentang bayaran). Mereka ada buat pembayaran, tapi ia bukan yuran (guaman). Dr Mahathir tahu perkara ini," katanya kepada media pada sidang media di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Shafee berkata bayaran itu berhubung 46 petisyen pilihan raya yang diwakilinya untuk anak guamnya sebelum ini.


PANDUAN KINI: Panduan pertuduhan terhadap Shafee


"Jumlah yuran guaman lebih kurang RM11.5 juta tapi diberi diskaun antara saya dan Najib.

"Malah, jika saya mahu kenakan bayaran untuk semua tugas yang saya buat untuk BN saja, tanpa perlu ambil kita nasihat kepada perdana menteri, hanya BN dan Umno saja, bayarannya kira-kira RM20 juta," katanya.

Shafee menambah bahawa beliau menuntut bayaran daripada Najib kerana beliau memerlukan wang untuk membeli hartanah bagi membantu seorang rakan.

Sementara itu, Shafee berkata beliau tidak pernah mendakwa tidak pernah menerima RM9.5 juta seperti yang dikatakan beberapa pihak.

"Seorang wanita bernama Rahayu yang merupakan pegawai khas kepada pejabat peguam negara tidak mengatakan hal yang sebenar berhubung bayaran RM9.5 juta.

"Dia jelas berbohong. Dia pembohong kerana saya tidak kata saya tidak menerima RM9.5 juta bagi kes Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini sangat jelas," katanya.

Lihat Komen
ADS