Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Dakwaan ke atas Shafee cubaan takutkan peguam
Diterbitkan:  Sep 13, 2018 5:41 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa pertuduhan terhadap peguam belanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini sebagai satu tindakan untuk menafikan hak beliau mendapatkan perbicaraan yang adil.

Malah, katanya, pertuduhan terhadap Muhammad Shafee mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001 boleh dilihat sebagai satu langkah untuk menakutkan atau menghalang peguam lain daripada mewakilinya.

"Membuat dakwaan terhadap Shafee kerana menerima pembayaran bagi khidmat guamannya adalah satu duluan (precedent) perundangan yang berbahaya buat semua peguam, ahli profesional dan perniagaan.

"Tiada siapa akan selamat jika kerajaan memilih untuk menjadikan anda mangsa atau melakukan penindasan terhadap anda," kata Najib dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Najib juga mempertikaian pemilihan masa kerajaan dalam mengheret Muhammad Shafee ke mahkamah.

Katanya, tindakan itu adalah mengejutkan kerana peguam berkenaan masih belum diambil keterangannya oleh SPRM ataupun berpeluang untuk memberi bukti dokumen-dokumen berkaitan tersebut ini.

"Ini bermakna siasatan masih lagi belum lengkap sebelum Shafee dituduh di mahkamah," kata Najib.

Beliau berkata, pertuduhan ke atas Muhammad Shafee juga boleh dianggap sebagai amat kontroversial pada ketika AGC baru menggugurkan dua pertuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di mana ia adalah satu kes yang sedang melalui perbicaraan.


PANDUAN KINI: Panduan pertuduhan terhadap Shafee


"Lebih 12 pertuduhan lagi terhadap pemimpin politik Pakatan dan yang berkaitan dengan mereka turut digugurkan dalam tempoh beberapa bulan ini," katanya.

Muhammad Shafee adalah antara peguam utama yang mengetuai barisan tujuh peguam bela yang mewakili Najib ketika bekas presiden Umno itu didakwa pada 4 Julai lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk kepentingan peribadi melibatkan RM42 juta berkaitan syarikat SRC International Sdn Bhd.

Muhammad Shafee juga mewakili Najib ketika didakwa pada 8 Ogos lalu atas tujuh pertuduhan termasuk tiga pertuduhan baharu iaitu didakwa menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram yang dikaitkan dengan dana syarikat SRC International, empat tahun.


Berikut kenyataan penuh Najib:

1. Pertuduhan AMLA terhadap teraju utama pasukan peguambela saya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kerana menerima pembayaran bagi khidmat guaman dilaksanakan beliau adalah satu lagi tindakan untuk menafikan saya perbicaraan yang adil. Ia boleh dilihat sebagai satu langkah untuk menakutkan atau menghalang beliau dan peguam lain daripada mewakili saya di mahkamah.

2. Sebelum ini, hakim bagi kes saya telah ditukar secara tiba-tiba manakala Jabatan Peguam Negara (AGC) pula melantik dua peguam luar bagi mengetuai kes pendakwaan terhadap saya. Ini juga jelas bertentangan dengan pendirian dan bantahan Pakatan Harapan sebelum ini di mana AGC tidak sepatutnya melantik peguam luar sebagai pendakwaraya ketika Shafee bertindak sebagai pendakwaraya dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kini, AGC bukan sahaja melantik seorang, malah dua peguam luar untuk bertindak sebagai pendakwaraya.

3. Sebagaimana yang saya dedahkan sebelum ini melalui paparan beberapa dokumen, saya menerima sumbangan politik dalam jumlah yang agak besar secara terus kepada saya daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi dan putera Arab Saudi yang bertindak mewakili Raja Abdullah.

4. Wang dari sumber ini yang dibayar untuk khidmat Shafee yang menjalankan tugas guaman mewakili parti dalam pelbagai kes selama bertahun-tahun termasuk petisyen pilihanraya bagi Pilihanraya ke-12 dan 13 bagi pemimpin BN lalu seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tan Sri Rafidah Aziz dan ramai lagi. Peguam berkhidmat dengan yuran dan mereka berhak menerima pembayaran atas khidmat yang sudah disempurnakan.

5. Membuat dakwaan terhadap Shafee kerana menerima pembayaran bagi khidmat guamannya adalah satu duluan (precedent) perundangan yang berbahaya buat semua peguam, ahli profesional dan perniagaan.

Tiada siapa akan selamat jika kerajaan memilih untuk menjadikan anda mangsa atau melakukan penindasan terhadap anda.

6. Cepatnya pendakwaan menindas terhadap Shafee ini juga mencetuskan persoalan kerana ia dilakukan beberapa hari selepas Shafee mendedahkan secara jelas bahawa Perdana Menteri hari ini yang mengarahkan beliau dilantik sebagai ketua pendakwaan dalam perbicaraan kes liwat Anwar, satu fakta yang masih tidak dinafikan oleh Dr Mahathir, pembantu peribadinya yang mengatur pertemuan itu atau bekas Peguam Negara ketika itu.

7. Pemilihan masa bagi menuduh Shafee juga mengejutkan kerana saya masih tidak lagi diambil keterangan oleh SPRM ataupun berpeluang untuk memberi bukti dokumen-dokumen berkaitan kes ini. Ini bermakna siasatan masih lagi belum lengkap sebelum Shafee dituduh di mahkamah.

8. Penindasan terhadap Shafee juga boleh dianggap sebagai amat kontroversial pada ketika AGC baru menggugurkan dua pertuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan, di mana ia adalah satu kes yang sedang melalui perbicaraan dengan 20 orang saksi sudah memberi keterangan.

Lebih 12 pertuduhan lagi terhadap pemimpin politik Pakatan dan yang berkaitan dengan mereka turut digugurkan dalam tempoh beberapa bulan ini.

Lihat Komen
ADS