Penyokong Anwar berbuka puasa di hospital KL
Versi terkini Kira-kira 150 penyokong reformasi berbuka puasa beramai-ramai di Hospital Kuala Lumpur petang ini sebagai membantah larangan untuk melawat pemimpin mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang dirawat.
Anwar yang dimasukkan ke situ sejak Sabtu lalu menolak rawatan perubatan bagi sakit belakangnya sejak dua hari selepas itu sebagai membantah larangan Jabatan Penjara Malaysia itu.
Anggota keluarga beliau yang terdekat, termasuk isterinya Presiden Parti Keadilan Nasional Dr Wan Azizah Ismail dan anak-anaknya dilarang melawat sejak dibawa ke situ.
Para penyokong itu berkumpul di kawasan letak kereta berdekatan unit kecemasan mulai jam 6.30 petang sehingga selesai acara sembahyang Maghrib kira-kira sejam kemudian.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang berada di biliknya di tingkat lima sempat melambai-lambaikan tangan kepada kumpulan tersebut, kemudiannya disambut oleh para penyokongnya.
Turut hadir, Ketua Pemuda Keadilan Mohamad Ezam Mohd Nor (foto, dua dari kiri), aktivis parti itu Dr Badrul Amin Baharon (foto, kiri sekali), aktivis reformasi Abd Malek Hussin dan anak sulung Anwar, Nurul Izzah.
Dalam satu ucapan ringkas, Ezam memberikan tempoh kepada kerajaan sehingga Isnin depan untuk menarik larangan tersebut.
"Jika tidak, kita akan kerah lebih ramai orang ke sini (untuk berhimpun seperti hari ini)," katanya lagi, yang turut diiringi oleh isteri.
Bagaimanapun, menurut laporan agensi berita AFP semalam, Anwar telah menghentikan bantahan kerana anggota keluarganya telah dibenarkan melawat petang Rabu lalu.
Kira-kira 50 anggota polis, termasuk sebahagian besar berpakaian biasa, mengawal keadaan. Tiada kejadian yang tidak diingini dilaporkan.
'Sindrom orang tua'
Sementara itu, Timbalan Presiden parti itu Dr Chandra Muzaffar menolak dakwaan Barissn Nasional bahawa kemenangan calon parti pembangkang itu, Saifuddin Nasution Ismail, di Lunas dua hari lalu kerana memperalatkan sentimen perkauman dan agama. [[#1]Panduan elak 'pendekatan bahaya' BA[/#], 30 Nov]
"Kemenangan ini membunuh segala pembohongan dan pendustaan bahawa Keadilan dan Barisan Alternatif memainkan sentimen kaum dan agama untuk meraih sokongan," katanya.
"Semua kaum (pengundi Lunas) menganggap BA sebagai saluran berkesan untuk menyampaikan perasaan ketidakpuasan hati dan kekecewaan mereka tentang kepimpinan (Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad."
Semalam anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Shahrir Abdul Samad menyifatkan Dr Mahathir sebagai punca kekalahan BN dalam pilihanraya kecil itu. [[#1]Dr M punca BN kalah di Lunas: Ahli MT[/#], 30 Nov]
Beliau berkata pemimpin negara itu dijangkiti "sindrom orang tua" yang mudah "merajuk dan berkecil hati" merujuk kenyataan Perdana Menteri yang menuduh pertubuhan utama pendidikan Cina, Dong Jiao Zong, sebagai pelampau dan tidak menghargai sumbangan kerajaan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.