Pulihkan demokrasi: Asean mahu lihat kesungguhan Myanmar
Menteri-menteri Luar Asean berpendapat Myanmar sebagai negara seanggota Asean perlu membuktikan kepada perkumpulan itu bahawa wujud perkembangan dalam perancangan ke arah demokrasi bagi membolehkan Asean bersuara bagi pihak Yangon.
Menteri-menteri Luar Asean berpendapat Myanmar sebagai negara seanggota Asean perlu membuktikan kepada perkumpulan itu bahawa wujud perkembangan dalam perancangan ke arah demokrasi bagi membolehkan Asean bersuara bagi pihak Yangon.
Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, Myanmar juga perlu menjelaskan pendiriannya berhubung tempoh tahanan di rumah yang dikenakan ke atas pemimpin prodemokrasi Aung San Suu Kyi yang dilanjutkan selama enam bulan lagi pada 27 November.
"Kita telah memaklumkan kepada Myanmar, walaupun kita akan bersama-sama membantu mereka ke arah demokrasi, Myanmar juga perlu memgambil langkah yang menyakinkan dan berwibawa ke arah itu," katanya.
Beliau memberitahu pemberita di akhir mesyuarat menteri luar yang dikenali sebagai Mesyuarat Menteri-Menteri Asean (AMM) sebelum berlangsungnya Sidang Kemuncak Asean ke-11 dan beberapa sidang kemuncak berkaitan serta Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) pertama di Malaysia minggu depan.
Myanmar, katanya, tidak memberikan sebarang petunjuk berhubung pembebasan Suu Kyi dalam mesyuarat hari ini, tetapi tegasnya, Asean berharap untuk melihat perubahan ketara mengenainya walaupun ia merupakan hal-ehwal dalaman negara itu.
Ditanya mengenai respons Myanmar, beliau berkata, negara itu mengambil perhatian dan isu itu akan dibincangkan lebih lanjut di peringkat pemimpin Asean.
Menurut laporan Bernama , Syed Hamid berkata, mesyuarat itu membincangkan mengenai perlunya Myanmar memberi tindak balas lebih positif terhadap kehendak masyarakat antarabangsa.
Desakan antarabangsa
Pemimpin Asean menerima desakan, khususnya daripada Amerika Syarikat, untuk mengambil pendirian lebih tegas ke atas Myanmar di mana tentera juntanya dipinggirkan oleh Barat kerana rekodnya berhubung hak asasi manusia.
Syed Hamid berkata, isu lain yang dibincangkan dalam mesyuarat hari ini termasuklah Piagam Asean, keamanan dan keselamatan serantau, halatuju perkumpulan dan selesema burung.
Beliau berkata, mesyuarat itu tidak membincangkan isu keganasan secara spesifik.
Syed Hamid juga berkata, mesyuarat itu tidak menyediakan sebarang agenda spesifik bagi sidang kemuncak itu kerana perkara yang dibincangkan agak lebih luas dan "diterajui pemimpin".
Beliau berkata, keseluruhan AMM itu "amat bermanfaat dan positif".


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.