Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Peguam kepada Datin Seri Rosmah Mansor menyangkal dakwaan polis bahawa setakat ini tiada pihak yang tampil dan menuntut secara rasmi aset yang disita ketika siri serbuan di kediaman yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak, beberapa bulan lalu.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dalam sidang media di Bukit Aman semalam.

"Itu tidak benar," kata Iskandar Shah Ibrahim, salah seorang peguam Rosmah.

Beliau mendakwa pihaknya telah membuat permintaan rasmi untuk menuntut barangan milik Rosmah dan dua anaknya, Nooryana Najwa dan Mohd Ashman, sejak dua bulan lalu.

"Namun polis menolak permintaan kami atas alasan barang yang dirampas itu masih dalam siasatan," katanya kepada Malaysiakini.

Iskandar juga berkata polis belum memanggil Rosmah untuk memberi keterangan berhubung barangan itu.

Dalam surat permohonan tuntutan oleh peguam Rosmah yang dilihat Malaysiakini, permintaan dibuat pada 24 dan 25 Julai lalu dan ditujukan kepada Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urusetia Pejabat Ketua Polis Negara ​​​​​​Bukit Aman, Datuk Khalil Azlan Chik.

Sepucuk surat daripada Unit AMLA bertarikh 30 Julai dan dikatakan ditandatangani Khalil menyatakan polis masih menjalankan siasatan justeru perlu menolak permohonan Rosmah untuk mendapatkan dokumen berkenaan barangan miliknya.

Dalam beberapa serbuan terhadap hartanah berkaitan Najib itu, polis antara lain merampas wang tunai dan barangan mewah seperti beg tangan berjenama. Mereka merampas 284 kotak beg tangan mewah dan 72 beg yang dipenuhi wang tunai dan barang kemas.

Nilai pasaran keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM1.1 bilion.

Lihat Komen
ADS