Bunuh kuching di kedai dobi: 3 lelaki diburu
Polis sedang mengesan tiga lelaki dipercayai warga tempatan berhubung kes bunuh kucing dengan memasukkan haiwan itu ke dalam mesin pengering pakaian di sebuah kedai dobi di Taman Gombak Ria pada Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Samsor Maarof berkata tiga lelaki berumur antara 30 dan 40 tahun itu dikesan bagi menyelesaikan kes mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan berkaitan membunuh binatang.
"Polis memerlukan kerjasama orang ramai dalam menyelesaikan kes terbabit," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Orang ramai yang melihat kejadian dan mengetahui lokasi ketiga-tiga lelaki berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Muhammad Najmi Izzuddin Che Ghani pada talian 017-9291359.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit 50 saat di kedai dobi itu tular sejak semalam menunjukkan dua lelaki memasukkan seekor kucing bunting ke dalam mesin pengering pakaian dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam sebelum bangkai kucing itu ditemukan berlumuran darah di dalam mesin berkenaan.
Pihak polis, bagaimanapun mengesahkan terdapat individu ketiga dalam CCTV itu.
Sementara itu, Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor menggesa semua pihak membantu polis dalam usaha memburu dua lelaki yang baru-baru ini dirakam kamera litar tertutup memasukkan seekor kucing ke dalam mesin pengering kain di sebuah premis dobi layan diri di Gombak.
Penaungnya Tan Sri Lee Lam Thye berkata masyarakat perlu tampil untuk membantu polis dalam kes itu kerana perbuatan tidak berperikemanusiaan seperti itu tidak boleh dibiarkan dan dua lelaki itu perlu menerima hukuman berat mengikut undang-undang.
"Tindakan tegas perlu diambil terhadap sesiapa sahaja yang berterusan mendera haiwan termasuk anjing dan kucing liar. Haiwan tidak boleh bercakap atau menjerit meminta tolong apabila didera, tetapi ini tidak bermakna ia tidak berasa sakit apabila diperlakukan dengan kejam," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Lee juga berharap Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut menyiasat kes itu supaya suspek dapat didakwa di mahkamah mengikut Akta Kebajikan Haiwan (AWA) 2015.
"Juga penting bagi rakyat Malaysia untuk melaporkan kes penganiayaan haiwan dan bertindak sebagai saksi semasa perbicaraan berikutan banyak pendera haiwan terlepas daripada tindakan kerana tiada siapa mahu tampil dan bertindak sebagai saksi dalam kes berkenaan,” katanya.
- Bernama

