Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas CJ: Tindakan Maszlee pendekkan khidmat saya bijak

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi hari ini mendedahkan bahawa pelantikannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah sebelum ini telah dipendekkan dan bukan ditamatkan.

Bagaimanapun, Zaki enggan mengulas lanjut langkah tersebut kerana tidak mengenali Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik itu secara peribadi.

“Saya punya perlantikkan di UMS juga dipendekkan, bukan ditamatkan. Tetapi, pendek dengan tamat itu samalah.

“Tapi tak apalah saya tak nak komen tentang politik dan saya tak kenal Maszlee secara peribadi,” katanya kepada pemberita selepas Seminar On Goverment Insight Series 2018 dengan tajuk "Pengasingan Kuasa : Di mana garisan Nuetraliti Penjawat Awam?," di Institut Tadbir Awam Negara (INTAN) di ibu negara, hari ini.

Terdahulu Zaki dalam ucapannya mendakwa bahawa langkah Maszlee menamatkan perkhidmatannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah sebagai bijak.

“Tidak mengapalah, saya beritahu universiti, ia adalah “wise decision” kepada menteri.

“Saya kena jujur juga, kerana pengerusi seterusnya adalah seseorang yang boleh bekerjasama dengan menteri dan jika seseorang itu boleh bekerja, maka ia akan memberi manfaat kepada UMS.

“Sebelum ini menteri terdahulu Datuk Seri Idris Jusoh saya kenal, semasa kerja dengan Umno, jadi apabila ada masalah terus beritahu dan selesai. Bukan disebabkan politik tetapi kerja,” katanya.

Penjawat awam tak terlibat parti politik

Pada masa sama, Zaki turut mengingatkan kira-kira 350 penjawat awam yang hadir majlis seminar di Intan, Kuala Lumpur itu untuk sentiasa mematuhi dasar-dasar diperkenalkan kerajaan baru.

“Kita mesti ikut dasar-dasar baru, kalau tidak kita melanggar syarat-syarat sebagai penjawat awam dan kita punya pemikiran perlu kena tukar, kalau hendak jadi ahli politik, jadilah ahli politik bukannya penjawat awam.

“Kalau hendak jadi penjawat awam, kemudian hendak bantu parti yang kita sokong maka itu tidak betul. Kita bukan ikut parti, tetapi kita ikut dari dasar kerajaan yang ada sekarang ini. Mesti faham perbezaan antara kerajaan dan parti yang mentadbir kerajaan,” katanya.

Bahkan, Zaki turut menggesa penjawat awam tidak terlibat dalam kempen dijalankan parti-parti politik, memandangkan banyak kesilapan dan kesalahan berlaku sewaktu pentadbiran terdahulu.

“Penjawat awam tidak boleh berkempen untuk kegunaan mana-mana parti politik, tidak boleh guna aset kerajaan untuk kepentingan parti. Dahulu, banyak benda ini berlaku atas nama kerajaan tetapi sebenarnya atas nama parti,” katanya.

Lihat Komen
ADS