Berita Malaysiakini

Dakwaan kait Sultanah - Jho Low: PAS gesa tindakan pada Clare

Bernama  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown memohon maaf kepada Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah susulan mengaitkan baginda dengan penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA).

Ketua Penerangannya, Hishamuddin Abdul Karim berkata fitnah itu adalah satu lagi propaganda jahat terhadap institusi diraja seolah-olah wujud hubungan antara penerbit itu dengan pihak-pihak tertentu.

"Sehubungan itu, kami menyokong gesaan Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu supaya Clare memohon maaf kepada Sultanah Terengganu dan membetulkan fakta di dalam buku tersebut.

"Kami juga mendesak Kementerian Dalam Negeri bertindak menahan edaran buku tersebut sehingga fitnah tersebut dipadamkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebarang kelewatan atau kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) bertindak ke atas kes ini akan menguatkan lagi kesangsian terhadap penghormatan, perakuan dan pemeliharaan terhadap institusi Raja-Raja Melayu.

"Adalah ditegaskan bahawa kami berdiri teguh di belakang institusi ini daripada sebarang usaha mencalar maruah dan menggugatnya," katanya.

Semalam, Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu berkata kenyataan dalam buku “The Sarawak Report: The Inside Story of The 1MDB Expose” dilancarkan pada 8 September lepas yang mengaitkan Sultanah Terengganu dalam isu berkenaan adalah tidak benar sama sekali.

- Bernama

BACA:
Clare: 1MDB dedah rasuah sistem kewangan global

Sultanah T'ganu tidak pernah terlibat dalam urusan penubuhan TIA