Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Hujan petang tadi menjadikan sebahagian Padang Timur di Petaling Jaya becak dan berlumpur.

Namun, ribuan orang ramai tetap tidak melepaskan peluang untuk hadir acara Konsert Perpaduan dan Larian Harapan, anjuran Malaysiakini bersempena sambutan Hari Malaysia ke-55.

Bintang seni suara negara, Datuk Siti Nurhaliza menjadi penyeri utama barisan para penghibur yang memulakan persembahan sekitar jam 10 malam ini.

Sementara itu, pemimpin tertinggi PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai pengiraan detik ambang Hari Malaysia sebelum pertunjukan bunga api pada tengah malam ini.

Pelawak tempatan Kavi Jay dan Papi Zak menjadi pengacara majlis dan konsert ini turut menampilkan penghibur seperti kumpulan Bunkface, Jaclyn Victor, Estranged, Rynn Lim dan Mugen Rao.

Syed Saddiq lancar Larian LED Harapan

Kiraan ambang Hari Malaysia menandakan permulaan Larian LED Harapan sejauh 5km dengan penglibatan 3,000 pelari pula bakal dilancarkan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Peserta larian memakai baju kuning neon bagi melambangkan harapan cerah mereka untuk sebuah Malaysia baru selepas pilihan raya umum ke-14.

Kedua-dua acara merupakan sebahagian daripada Pesta Harapan Malaysia 2018, anjuran Malaysiakini yang berlangsung dari 14 ke 26 September ini.

Pengasas bersama Malaysiakini dan Ketua Pengarangnya, Steven Gan berkata, nama acara itu - Pesta Harapan Malaysia - dipilih untuk merayakan harapan rakyat Malaysia setelah menyaksikan perubahan bersejarah sejak 9 Mei lalu.

"Buat pertama kalinya dalam sejarah, rakyat Malaysia, didorong oleh harapan, memilih untuk mengubah kerajaan persekutuan.

"Ia membuktikan bahawa harapan dapat menakluki ketakutan, kebencian dan putus asa.

"Tidak ada hari yang lebih baik daripada Hari Malaysia buat rakyat Malaysia menyambut peristiwa itu," katanya.

Begitu juga, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran berkata seperti  hasrat ramai rakyat Malaysia, misi syarikat itu didorong dengan harapan bahawa suatu hari nanti Malaysia akan menjadi sebuah negara yang demokratik, adil, bersemangat dan makmur.

"Perubahan yang kita lihat pada tahun ini didorong oleh anak muda dan kami meraikan harapan, aspirasi dan visi mereka untuk masa depan negara ini," katanya.

Majlis malam ini anjuran Events@kini, iaitu bahagian pengurusan acara yang baru ditubuhkan Malaysiakini.

Menurut Premesh, ia akan menjadi yang pertama dalam senarai program masa hadapan yang bertujuan untuk menggalakkan penglibatan orang ramai dalam pembuatan polisi.

Kejohanan sukan elektronik sedunia

"Acara yang kami anjurkan akan selaras dengan falsafah kami, sejajar dengan apa yang terbaik dilakukan Malaysiakini - menyediakan platform bagi rakyat Malaysia untuk memberi maklum balas, untuk membincangkan isu-isu yang penting kepada negara.

"Sepanjang tahun ini, kami akan menganjurkan pelbagai jenis peristiwa, perbahasan dan perbincangan.

"Mereka akan memasukkan bukan sahaja belia, tetapi juga masyarakat luar bandar, dan orang-orang dari Sabah dan Sarawak, semua bahagian Malaysia," kata Premesh lagi..

Turut hadir ialah ahli politik tempatan termasuk Anggota Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

Acara Pesta Harapan Malaysia seterusnya adalah pusingan kelayakan peringkat kebangsaan untuk World Electronic Sports Games (Kejohanan Sukan Elektronik Sedunia) yang akan diadakan di antara 21 ke 23 September ini di Quill City Mall, Kuala Lumpur.

Terdapat juga siri perbincangan polisi di kalangan anak muda pada 27 Septmber yang akan menampilkan majlis dialog townhall bagi membincangkan isu-isu alam sekitar dan inovasi teknologi, termasuklah acara debat mengenai cadangan menurunkan umur layak mengundi ke 18 tahun.

Kesemua acara terbuka kepada orang ramai dan masuk adalah percuma.

Lihat Komen
ADS