Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Dalam ucapan sempena Hari Malaysia pada Pesta Harapan Malaysia 2018 anjuran Malaysiakini semalam, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar golongan muda mempunyai keberanian membina semula negara.

"Saya mahu mengucapkan tahniah kepada semua anak muda.

"Ini Malaysia Baru yang menjanjikan lebih banyak penyertaan anak muda kerana negara ini akan beri yang terbaik untuk anak muda," kata Anwar yang menyampaikan ucapan ringkasnya di pentas program di Padang Timur, Petaling Jaya.

Terdahulu, beliau menerima deklarasi daripada wakil kumpulan anak muda berhubung ekonomi, pesekitaran, dan demokrasi.

Ketika menunggu pengiraan detik pukul 12 malam, Anwar sempat berkata bahawa negara mempunyai jatuh bangunnya, dan kini sudah tiba masanya untuk membina masa depan yang lebih baik.

"Ada antara kita (rakyat Malaysia) yang telah rosakkan institusi negara ini.

"(Kini) kita perlu melawan perkauman, rasuah, dan kita perlu mempunyai keberanian dan kekuatan untuk membuna semula Malaysia. Ini peranan anak muda," katanya kepada hadirin.

Kira-kira 3,000 hadirin pada malam itu turut menyertai acara larian LED sejauh 5km yang dilepaskan oleh Menteri Belia dan Suka Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang diiringi timbalannya, Steven Sim dan Anggota Parlimen Serdang, Ong Kian Ming.

Sementara itu, pengasas dan ketua pengarang Malaysiakini, Steven Gan yang juga sempat menyampaikan ucapan ringkas turut menyampaikan seruan serupa untuk anak muda.

"Kepada anak muda, masa depan adalah milik anda dan anda yang akan membentuk masa depan itu, katanya.

Antara pemimpin politik yang turut hadir adalah Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, ADUN Bukit Gasing Rajiv Risyakaran, ADUN Bandar Utama Jamaliah Jamaludin dan ADUN Seri Delima Syerleena Abdul Rashid.

Sejurus selepas Anwar memimpin hadirin mengira detik 12 malam, pertunjukan bunga api sempena meraikan Hari Malaysia ke-55 diadakan.

Terdahulu, hadirin dihiburkan pelbagai artis termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Estranged dan Bunkface.

Lihat Komen
ADS