Paling Popular
Terkini

PRK PORT DICKSON | Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak bantuan yang ditawarkan oleh Datuk Seri Nazri Aziz yang ingin berkempen untuknya pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson tidak lama lagi.

Anwar yang dipilih menjadi presiden PKR oleh anggota parti itu baru-baru ini menjelaskan, pihaknya sentiasa mengalu-alukan sokongan sesiapa saja yang ingin membantu Pakatan Harapan (HARAPAN).

Bagaimanapun menurut Anwar bagaimana bantuan Nazri itu akan ditangani bergantung kepada pendekatan strategi yang diambil oleh PKR dalam PRK berkenaan.

"Saya mengalu-alukan sebarang sokongan tetapi apabila ia melibatkan strategi parti, platform parti, ia akan diputuskan oleh parti.

"Saya tidak cukup angkuh untuk menolak sesiapa yang menawarkan bantuan," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menambah sesiapa saja yang mahu membantu perlu dipertimbangkan oleh PKR dan HARAPAN.

Cuma, kata bakal perdana menteri kelapan Malaysia itu, bantuan berkenaan perlu dilihat sama ada melalui wadah HARAPAN atau PKR.

Tetap kena kerja keras

Anwar akan bertanding dalam PRK Port Dickson selepas kerusi parlimen itu dikosongkan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 Sept lalu.

Ekoran itu Nazri yang juga bekas menteri kanan BN menawarkan dirinya untuk membantu Anwar menghadapi PRK berkenaan bagi membantu Umno kembali menyertai kerajaan.

"Satu-satunya cara untuk melakukan perkara itu adalah dengan bekerjasama dengan PKR... Jadi kita perlu tunjuk niat baik, jika kita ingin jadi kerajaan biarkan Anwar menang," katanya.

Bagaimanapun Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kenyataan Nazri itu tidak mewakili Umno atau BN secara keseluruhan.

Mengenai PRK Port Dickson - yang tarikhnya belum diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) - Anwar berkata beliau tetap perlu bekerja keras untuk menang.

Antara lain katanya beliau perlu menjelaskan kepada pengundi di kawasan tersebut mengapa kerusi Port Dickson yang menjadi pilihannya serta apa yang boleh ditawarkan jika memenangi PRK itu nanti.

"Jangan anggap disebabkan saya dikenali ramai termasuk di seluruh dunia, berucap di forum-forum antarabangsa maka saya tak perlu berkempen. Itu tak betul.

"Saya akan ke sana sebagai Anwar yang memerlukan sokongan daripada pengundi," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS