Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Dua ahli PKR akan dipecat jika terbukti salah

Presiden PKR yang menang tanpa bertanding, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya mengambil serius penahanan dua anggota PKR oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

"Jika betul terbukti, saya tak akan simpati. Saya akan kemuka usul pecat mereka sebagai ahli. Itu pandangan tegas kita," kata Anwar semasa dialog bersama anak muda di Kuala Lumpur hari ini.

"Sokong kerana ada wang. Sokong kerana janji ada jawatan. We have to avoid all those (Kita perlu elakkan semua ini)," katanya.

SPRM pagi ini menahan reman kedua-dua suspek sehingga Jumaat ini.

Kedua-dua mereka ditahan kerana disyaki meminta suapan berkaitan pemilihan bahagian PKR di Kedah.

Menurut sumber, suspek pertama berusia 48 tahun ditahan pada pukul 12.20 tengahari di sebuah restoran di Alor Setar manakala suspek kedua yang berusia 46 tahun pula ditahan pada pukul 3.25 petang di Plaza Tol PLUS Pendang.

Mereka dikatakan terlibat meminta wang suapan sebanyak RM20,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan agar namanya yang telah didaftarkan untuk pemilihan parti dikekalkan di dalam sistem sekali gus layak bertanding.

Sumber berkata, suspek terbabit sebelum itu telah memaklumkan kepada lelaki terbabit bahawa namanya dan beberapa individu lain lagi akan digugurkan daripada senarai nama calon namun boleh dikekalkan sekiranya membayar suapan tersebut.

Susulan penahanan itu, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM10,000 daripada kedua-dua suspek.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

 

Lihat Komen
ADS