Berita Malaysiakini

PM: K'jaan akan kembalikan status rakan sekutu pada Sabah, Sarawak

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kerajaan Pakatan Harapan akan mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak setelah kajian Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) disiapkan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Pengembalian status Sabah dan Sarawak sebagaimana di dalam MA63 memberi kita asas kukuh untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah.

"Pastinya keperluan-keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak perlu diberi perhatian kerana masih terdapat daerah-daerah yang mundur dan kelengkapan yang amat daif," kata perdana menteri dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

Menurut Mahathir, kajian mengenai MA63 pastinya akan disusuli keperluan untuk menilai semula beberapa amalan yang telah dilaksanakan sebelum ini.

"Harapan kita, apa saja penilaian semula yang dilakukan terhadap amalan-amalan ini perlulah dilakukan di dalam semangat setia kawan, saling menghormati dan sikap tolak ansur yang tinggi di antara kita.

"Tanpa semangat dan sikap ini, kesatuan kita sebagai satu negara dan satu bangsa akan terhakis dan keindahan yang kita kecapi bersama selama ini akan hilang di masa akan datang," katanya.

Pembentukan sebuah jawatankuasa khas kabinet berhubung MA63 merupakan salah satu janji 100 hari HARAPAN.

Jawatankuasa itu akan dianggotai oleh wakil-wakil dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang mempunyai kepakaran dalam hal-hal berkaitan.

Menurut Mahathir kerajaan persekutuan tidak akan melupakan tanggungjawabnya kepada Sabah dan Sarawak terutama dalam memajukan infrastruktur di kedua-dua negeri berkenaan.

Semangat 'timbal balik'

Pada masa sama beliau berkata hubungan yang terjalin akan menyedarkan rakyat mengenai perlunya semangat “reciprocity” atau timbal balik di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Atas semangat ini, pemimpin dan rakyat Sabah dan Sarawak pastinya sedar ada di antara negeri-negeri di Semenanjung yang juga masih serba kekurangan dan memerlukan bantuan yang berterusan dari Kerajaan.

"Saya yakin rakyat Sabah dan Sarawak berasa senang dan diterima di Semenanjung kerana kehadiran mereka di sana tidak ada sebarang sekatan atau “encumberances”.

"Ini saya percaya telah berjaya mengeratkan hubungan sesama kita sebagai rakyat Malaysia. Keakraban yang terbina inilah yang telah membantu Malaysia kekal walaupun ada ketikanya timbul perbezaan pendapat di antara pemimpin-pemimpin dari ketiga-tiga wilayah ini," katanya.