Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP PKR: Cadangan gabungan 'Pakatan Malaysia' meloyakan
Diterbitkan:  Sep 17, 2018 2:46 PM
Dikemaskini: 6:55 AM

Anggota Parlimen PKR Bayan Baru Sim Tze Tzin menyifatkan gambaran Pakatan Malaysia yang menggabungkan parti pembangkang dan PKR sebagai "meloyakan" dan bertujuan memecahbelahkan Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Sangat meloyakan melihat kenyataan seperti itu sering dikeluarkan pemimpin Umno kebelakangan ini.

"Ia hanya menunjukkan Umno sedang terdesak. Panglima politik Umno sebelum ini menikmati pelbagai keistimewaan tidak dapat menerima realiti menjadi pembangkang.

"Ia juga merupakan permainan psikologi licik untuk memecahbelahkan HARAPAN dan mewujudkan rasa tidak percata di kalangan anggota dan pemimpin," kata Sim dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, bekas menteri besar Johor Khaled Nordin memberi gambaran bahawa Umno, MIC, MCA, PAS dan parti pembangkang di Sabah dan Sarawak boleh bersatu untuk berdepan kerajaan HARAPAN.
Bagaimanapun, Sim berkata, gambaran yang dibayangkan pemimpin Umno itu tidak akan berjaya.

"Pertama, mandat yang diberikan rakyat Malaysia jelas. Pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, rakyat mengundi untuk perubahan. Mereka mahukan HARAPAN menerajui negara dan mereka menolak Umno-BN.

"Kedua, HARAPAN adalah pakatan yang teguh dan stabil yang dibina dengan bertahun-tahun hubungan kerjasama yang rapat," katanya.

Sim turut menyorot bahawa ramai pemimpin HARAPAN pernah menjadi mangsa politik ketika BN memerintah dan ia tidak akan dilupakan dengan mudah.

"Maka, saya ingin menasihatkan orang seperti Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Khaled untuk melupakan mimpi sia-sia mereka dan kembali kepada realiti.

"Mereka perlu menerima keputusan pengundi Malaysia dengan jujur dan rendah diri. Mereka perlu insaf untuk semua kesilapan masa lalu mereka dan mula bekerja sebagai pembangkang yang berkesan," katanya.

Lihat Komen
ADS