Paling Popular
Terkini

Datuk Lokman Noor Adam hari ini sekali lagi mengepalai protes pembangkang dalam usaha mereka mengecam pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Bersama kira-kira 30 penyokong anggota Majlis Tertinggi Umno itu turut menyampaikan ucapan di luar Kompleks Pertama yang terletak di antara Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Sebelum itu mereka berkumpul di luar pusat beli-belah berkenaan sejak tengah hari.

Lokman yang mengetuai kumpulan Pemantau Malaysia Baru berkata kerajaan BN sebelum ini sudah memberi penjelasan mengapa SST itu perlu digantikan dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Katanya cukai jualan mula dilaksanakan sejak 1972 manakala cukao perkhidmatan kira-kira tiga tahun kemudian.

"Disebabkan ia (SST) dah terlalu lama, jadi ada peniaga tak amanah yang tahu cara untuk mengelak membayar SST," katanya.

Menurut Lokman lagi melalui GST kerajaan mendapat pendapatan yang tinggi malah pelaksanaannya - sejak 1 April 2015 - berlangsung dengan lebih telus.

"Kita tahu pemindahan cukai bermaharajalela (sewaktu SST) jadi kerajaan putuskan kita ikut lebih 160 negara lain yang melaksanakankan GST," katanya.

Lokman yang sebelum ini mengendalikan kursus mengadakan demonstrasi untuk penyokong Umno turut mengecam Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Kata Lokman orang ramai mesti bersuara menegur sebarang tindakan kerajaan yang boleh menjejaskan ekonomi negara pada masa depan.

"Kalau kita tunggu lima tahun lagi untuk mengambil alih kerajaan (melalui pilihan raya umum), maknanya kita akan mengambil sebuah negara yang sudah musnah," dakwanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan pembangkang tidak perlu mengamalkan politik fitnah ke atas kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Hal itu kerana katanya ketika ini sudah cukup banyak kesilapan dibuat kerajaan dan ia boleh digunakan ke atas HARAPAN.

"Kita hanya perlu tularkan untuk tingkatkan kesedaran rakyat dan menyebabkan mereka mendesak kerajaan hari ini membuat perubahan," katanya.

Sementara itu Lokman berkata cadangan untuk menyaman polis sedang dipertimbangkan ekoran insiden sewaktu beliau mengetuai protes mengecam Peguam Negara Tommy Thomas awal bulan ini.

"Kami sudah membuat laporan polis, mengemukakan aduan kepada Jawatankuasa Disiplin Polis Diraja Malaysia dan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang," katanya pada sidang media selepas protes itu berakhir.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS