Exco Pemuda Umno: Jangan terlalu ghairah kerjasama dengan PAS
Exco Pemuda Umno Shahrul Nasrun Kamaruddin mengingatkan anggota partinya agar tidak "terlalu ghairah" berhubung kerjasama dengan PAS sehingga dilihat tidak bermaruah.
Ini kerana, katanya, masih banyak perkara perlu diperincikan berhubung kerjasama tidak rasmi yang baru terjalin antara kedua-dua parti Melayu terbesar itu.
Apalagi, tambahnya, setelah lebih 40 tahun berseteru, tidak mungkin Umno dan PAS boleh mencapai kata sepakat dalam masa yang singkat.
"Sebagai ahli Umno kita perlu bertenang dan tidak terlalu ghairah berhubung kerjasama yang baru terjalin secara tidak rasmi bersama PAS sehingga Umno yang dilihat terhegeh-hegeh merayu kepada PAS.
"Malah kerjasama selepas kekalahan Umno dan BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 bagi menjaga kepentingan ummah mula menimbulkan banyak persoalan terutama di kalangan orang Melayu Islam.
"Rakyat tertanya-tanya, kenapa baru sekarang Umno mahu menjalinkan kerjasama dengan PAS dan kenapa setelah kehilangan kuasa barulah Umno cuba berbaik dengan PAS?
"Persoalan sebegini membuatkan rakyat terutama orang Melayu meragui dan tidak yakin Umno dan PAS bekerjasama demi kepentingan ummah dan timbul tanggapan kerjasama ini demi kepentingan politik semata-mata," katanya.
Shahrul berkata demikian merujuk hubungan Umno dan PAS yang dilihat semakin rapat terutamanya dengan kehadiran Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin lain parti itu ke Muktamar PAS 2018 minggu lalu.
Selain itu, tambah Shahrul lagi, pendekatan seperti itu penting bagi memastikan kerjasama antara Umno dan PAS tidak separuh jalan dan berpecah sebelum PRU ke-15.
"Sememangnya Umno sudah melupakan perbalahan dan cemuhan PAS. Tetapi kita tidak mahu suara sumbang muncul kemudian hari.
"Di saat ini fokus Umno adalah rakyat dan Umno kena mula berfikir sebagai pembangkang," katanya.
Pada Muktamar PAS ke-64 yang diadakan di Kuala Terengganu, minggu lalu, tiada usul berkaitan kerjasama rasmi antara kedua-dua parti itu.
Malah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti Islam itu tidak gopoh menjalinkan kerjasama dengan Umno.
Anggota Parlimen Marang itu turut menganggap perkara itu bukan sesuatu yang mendesak pada masa ini dan kerjasama seumpama itu boleh dibincangkan melalui muktamar khas yang boleh diadakan sekiranya perlu.

