Exco Pemuda Umno Shahrul Nasrun Kamaruddin menggesa partinya melakukan "pembersihan" agar pemimpin dan ahli yang ikhlas dapat membawa parti itu bangkit semula daripada kekalahan pilihan raya umum (PRU) ke-14.

"Umno tidak perlu bernostalgia dan kena melakukan pembersihan di dalam parti walaupun bakal kehilangan pemimpin dan ahli.

"Biarlah yang ada dalam Umno adalah yang mereka yang ikhlas demi perjuangan agama, bangsa negara.

"Saya percaya Umno mampu untuk bangkit semula dan tempoh lima tahun bukannya waktu yang terlalu lama," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan Shahrul itu dibuat sebagai menyeru agar ahli Umno tidak terlalu ghairah dengan kerjasama PAS yang baru terjalin secara "tidak rasmi".

Sebaliknya, jelas Shahrul, Umno "berubah sikap" dan menumpukan untuk pembangkang yang berkesan kepada kerajaan Pakatan Harapan.

"Tetapi untuk bangkit Umno harus berubah sikap, mesti bertindak sebagai pembangkang yang berkesan kepada Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan isu-isu rakyat harus menjadi agenda dan fokus utama.

"Sekiranya rakyat agenda utama, saya percaya di atas izin Allah SWT, Umno dan BN akan dipilih semula. Rakyat menghukum untuk menyedarkan UMNO dan jangan sesekali kita menyalahkan rakyat kerana telah memilih HARAPAN," katanya.