Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melantik bekas hakim kanan Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

Beliau dilantik bersama-sama bekas hakim mahkamah rayuan Datuk Linton Albert dan Datuk Mah Weng Kwai serta pakar undang-undang yang juga pensyarah Universiti Malaya, Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.

"Pelantikan ini bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 4 September 2018 hingga 3 September 2020 bagi menggantikan Tun Arifin Zakaria, Datuk Anantham Kasinather, Datuk Abdul Razak Tready dan Prof Dr Choong Yeow Choy," maklum Pejabat Setiausaha Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dalam suatu kenyataan hari ini.

Dibentuk melalui Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009, suruhanjaya itu diusulkan pada masa bekas perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Peranannya untuk memastikan pemilihan tidak berat sebelah bagi pelantikan hakim di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di mana suruhanjaya itu akan menimbang dan membuat syor kepada perdana menteri.

Hishamudin yang bersara pada September 2015, mengesahkan perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak menghentikan perlantikannya ke Mahkamah Persekutuan.

Mohd Hishamudin menjelaskan bahawa perkara itu berlaku pada 2013, apabila Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) mencadangkan namanya kepada bekas perdana menteri itu untuk pelantikannya ke Mahkamah Persekutuan.

"Malangnya, PM tidak memihak kepada kenaikan pangkat saya ke Mahkamah Persekutuan.

"Saya rasa fakta ini adalah pengetahuan umum," katanya kepada Malaysiakini dalam satu temubual eksklusif.

Julai lalu, The Star melaporkan rombakan besar-besaran Jabatan Perdana Menteri.

Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, SPRM, SPR, Suhakam, Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, adalah antara sembilan agensi kerajaan yang dilaporkan akan menjadi badan bebas dan melapor langsung kepada parlimen.