Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Husam harap Mustapa dapat bersama lepas 'iddah'
Diterbitkan:  Sep 19, 2018 11:02 AM
Dikemaskini: 3:25 AM

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan Husam Musa mengalu-alukan Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk bersama-sama gabungan itu pada masa akan datang.

"Saya bersikap terbuka untuk Mustapa dapat bersama selepas 'cuti iddah' beliau.

"Langkah beliau adalah 'logik semula jadi yang tepat' bagi mana-mana pemimpin yang waras," katanya dalam kenyataan, semalam.

Pengumuman Mustapa untuk keluar Umno semalam mengejutkan banyak pihak, apatah lagi beliau merupakan anggota Majlis Tertinggi (MT) dengan undian terbanyak pada pemilihan parti Jun lalu.

Beliau berkata keputusan itu setelah mendapati Umno tidak lagi selari dengan prinsip politiknya - iaitu inklusif, moderat dan berhaluan tengah - selain tidak berlaku proses rejuvenasi dalam parti itu susulan kekalahan pada PRU ke-14.

Dengan perkembangan itu, Husam yang juga Naib Presiden AMANAH menggesa HARAPAN agar membuka laluan untuk anggota parlimen di luar gabungan itu yang dilihat selari dengan usaha mereka.

"Jika HARAPAN dapat menggerakkan Konsolidasi Nasional berpaksikan sokongan kepada usaha reformasi dan membangunkan semula negara yang dibawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan HARAPAN sekarang, ia boleh mengukuhkan lagi negara dan mempercepat pemulihan.

"Pada masa sama, pembersihan ke atas salah laku pentadbiran yang lalu juga perlu digiatkan untuk meyakinkan rakyat bahawa HARAPAN menuju laluan yang betul dalam memenuhi aspirasi rakyat.

"Dalam rangka ini, saya melihat langkah Dato Mustapa perlu disambut positif. Saya juga berharap lebih ramai anggota parlimen Umno lain mengikuti jejak beliau," katanya lagi.

Semalam, Mahathir turut mengulas sama ada Mustapa akan dialu-alukan untuk menyertai HARAPAN dengan berkata bekas menteri itu perlu menunjukkan dirinya berbeza daripada sebelum ini.

Beliau bagaimanapun menyifatkan langkah itu sebagai sedikit terlambat dan Mustapa sepatutnya "sedar (sejak) awal lagi".

Lihat Komen
ADS