Lima anggota suruhanjaya bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat insiden ketuk ketampi dalam keadaan bogel di lokap polis Petaling Jaya memulakan siasatannya di bekas bangunan Mahkamah Persekutuan di Kuala Lumpur pagi ini.

Suruhanjaya lima anggota itu dijangka memanggil 17 saksi, termasuk 10 anggota polis, bagi memberikan gambaran jelas mengenai apa yang berlaku sebelum dan selepas penahanan seorang wanita yang dipaksa melakukan ketuk ketampi, yang dirakamkan dalam klip video serta diedarkan secara meluas.

Suruhanjaya itu secara rasmi dikenali sebagai Suruhanjaya untuk Menyiasat Prosedur Tetap Operasi Dan Sebagainya Berhubung Dengan Pengendalian Pemeriksaan Tubuh Berkenaan Dengan Penangkapan dan Penahanan Oleh Polis.

Ia diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah. Anggota lain ialah bekas timbalan presiden MCA Tan Sri Lim Ah Lek, bekas presiden Majlis Peguam Malaysia Kuthubul Zaman Bukhari, Ketua Biro Undang-undang Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim dan Datuk Hamzah Md Rus, yang bertindak sebagai setiausaha suruhanjaya.

Menurut Bernama, siasatan itu bermula kira-kira 10 pagi dalam sebuah ruang bekas Mahkamah Persekutuan di Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur.

Sebaik sahaja pintu dibuka pada 9.30 pagi, wartawan dan kira-kira 50 orang awam bergegas masuk untuk mendapatkan tempat duduk.

Suruhanjaya itu diberi masa sebulan oleh kerajaan untuk menyiapkan laporannya dan mempunyai empat terma rujukan, termasuk sama ada wanita yang imejnya dapat dilihat dalam klip video itu merupakan seorang daripada lima rakyat China yang ditangkap dan berada dalam tahanan polis.

Ia juga akan meneliti kaedah menjalankan pemeriksaan badan dan menyiasat prosedur tetap operasi untuk menjalankan pemeriksaan badan.

Insiden ketuk ketampi itu yang dihebahkan kepada umum di Parlimen pada 24 November lalu, mencetuskan kemarahan orang ramai sehingga Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan sebuah siasatan bebas ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu.