Mymnar bersetuju untuk membenarkan utusan dari Asean melawat negara itu untuk meninjau perkembangan pemulihan proses demokrasi di sana, kata seorang pegawai kanan Asean.

Kerajaan tentera Mynmar kini mengenakan perintahan tahanan di rumah ke atas pemimpin pro-demokrasi Aung San Suu Kyi dan sebelum ini tidak membenarkan utusan Pertubuhan Bangsa-banga Bersatu (PBB) melawat negara itu.

Bagaimanapun, AFP memetik pegawai kanan Asean itu berkata, Mynmar bersetuju membenarkan pengerusi Asean dan jawatankuasa tetap Asean - Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Syed Hamid Albar - melawat negaraitu pada bila-bila masa.

"Ianya satu perkembangan positif," kata pegawai tersebut kepada pemberita, sambil menambah bahawa Mynmar bersetuju dengan cadangan tersebut ketika menghadiri jamuan makan malam tadi sehari sebelum bermulanya Sidang Kemuncak Asean hari ini.

Cadangan untuk menghantar utusan tersebut dibuat selepas Syed Hamid berkata minggu lalu bahawa Asean akan cuba menghantar jawatankuasa untuk meninjau perkembangan dalam usaha Mynmar memperbaiki hak asasi manusia di negara itu.

Konvensyen nasional

Anggota Asean yang lain, yang sebelum ini berpegang pada dasar tidak campurtangan dalam urusan dalam negara anggota lain, kini semakin lantang mengkritik dasar Mynmar berikutan peningkatan tekanan masyarakat antarabangsa.

PBB, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat mempersendakan cadangan kerajaan tentera Mynmar untuk mengadakan konvensyen nasional bagi menggubal perlembagaan barunya sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan demokrasi.

Parti Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi yang memenangi pilihanraya pada 1990 tetapi tidak berpeluang menubuhkan kerajaan, telah memulaukan konvensyen tersebut.

"Di jamuan makan malam tersebut, Mynmar mengalu-alukan pengerusi Asean untuk melawat negara itu pada bila-bila masa.

"Jika beliau melawat Mynmar sewaktu berlangsungnya konvensyen nasional tersebut, beliau akan dijemput untuk mengikuti perjalanannya," kata pegawai tersebut.

Rakan sejawat

Sementara itu, menurut Bernama , Perdana Menteri Myanmar Lt Jen Soe Win memberitahu rakan sejawatan yang menghadiri Sidang Kemuncak Asean Ke-11 bahawa Myanmar mengalu-alukan delegasi berkenaan melawat negaranya bagi tujuan itu.

Menteri Luar Thailand Dr Kantathi Suphamongkhon memberitahu pemberita bahawa terdapat beberapa cadangan mengenai komposisi delegasi itu.

Satu daripadanya ialah bagi semua menteri luar Asean pergi ke Myanmar, satu lagi Syed Hamid mengetuai dan mewakili Jawatankuasa Tetap Asean manakala satu lagi bagi penubuhan troika yang dianggotai menteri luar yang lalu, sekarang dan pengerusi Asean akan datang iaitu Laos, Malaysia dan Filipina.

"Ia masih belum selesai," katanya mengenai komposisi delegasi itu.

Dr Kantathi berkata, perdana menteri Myanmar juga berkata Yangon bersedia menyelaraskan dan membuat susulan terhadap lawatan itu dan juga akan berunding dengan kerajaannya bagi mendapat butiran lanjut.

Ditanya sama ada langkah Myanmar menerima delegasi Asean itu sebagai tanda semakin hampir kepada pembebasan Suu Kyi, beliau berkata: "Kami berharap begitulah, kita semua mahu Suu Kyi dibebaskan."