Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Sekian lama dapat pelbagai kemudahan, kini masa untuk setia'

Sebaik selepas dibebaskan dengan ikat jamin hari ini, bekas presiden Umno Datuk Seri Najib Razak menggesa semua anggota parti itu agar terus setia kepada parti.

Merujuk tekanan terhadap anggota Umno ekoran siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dana RM2.6 bilion yang diterimanya ketika menjadi perdana menteri, Najib berkata anggota Umno perlu terus menunjukkan kesetiaan "di saat-saat getir seperti ini".

"Semua pihak jangan gusar dengan hal ini. Sebab apa-apa pun, kita mesti yakin dengan pendirian kita.

"Kalau kita sudah bersama BN selama ini, saya harap mereka semua (anggota) akan terus setia kepada BN dan insya-Allah kita akan berjuang habis-habisan dan berdoa ke hadrat Allah untuk menunjukkan kebenaran kepada pihak yang benar," katanya ketika sidang media di luar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Najib bercakap dengan pemberita selepas beliau dibebaskan dengan ikat jamin RM3.5 juta. Beliau didakwa dengan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya.


Baca: Najib: Saya bukan pencuri


Najib menyentuh tentang soal kesetiaan anggota Umno selepas pemberita bertanya berkenaan anggota parlimen dan pemimpin Umno yang dipanggil untuk memberi keterangan berhubung skandal 1MDB dan sama ada lebih ramai yang akan keluar parti nanti.

Ia susulan tindakan anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman yang keluar parti.

Mengulas lanjut, Najib meminta anggota Umno agar tetap setia dalam perjuangan dan berani berdepan segala cabaran.

"Sebab parti memerlukan kesetiaan kita.

"Kalau kita selama ini sudah mendapat segala kemudahan daripada parti, inilah masa parti memerlukan kita. (Parti) memerlukan sumbangan dan komitmen kita," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS