Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shafee gembira dengan pendakwaan 'terdesak' terhadap Najib

Ketua pasukan peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata beliau "gembira" dengan pendakwaan ke atas anak guamnya yang menurutnya tidak ditimbang semasak-masaknya.

Beliau berkata ia bermakna pihak pendakwaan terdesak untuk membawa Najib ke mahkamah.

"Saya agak terkejut tetapi pada masa sama gembira dengan jenis pendakwaan yang dibawa mereka, kerana saya fikir ia adalah pendakwaan yang terdesak.

"Ia tidak menunjukkan apa-apa secara lebih mendalam berbanding (pendakwaan), dan ia juga jelas menunjukkan pihak berkuasa terdesak untuk membuat pendakwaan terhadap 1MDB untuk menunaikan janji manifesto mereka," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas mewakili Najib di Mahkamah Sesyen.

Hari ini bekas perdana menteri itu didakwa dengan empat tuduhan rasuah dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Shafee berkata pihak pendakwaan hanya boleh membuktikan aliran keluar masuk wang dalam akaun bank Najib tetapi bukannya niat atau tujuan transaksi itu.

Beliau juga berkata pertuduhan turut menunjukkan Najib telah mengembalikan hampir semua wang yang diterima ke bank akaun asal, beberapa bulan selepas PRU ke-13 pada 2013.

"Ini daripada dokumen SPRM dan polis. Ini adalah pendakwaannya.

"Jadi adakah anda masih mahu katakan Najib penjenayah terbesar? Jika begitu, dia mesti seorang yang bodoh untuk mengembalikan wang itu," katanya.

Beliau juga mendakwa pihak berkuasa cuba menutup mulut Najib kerana penjelasannya berkenaan skandal 1MDB mula menarik perhatian di media sosial. Menurut Shafee, beliau diberitahu laman Facebook Najib menarik lebih ramai pengguna berbanding ahli politik lain di Malaysia.

Shafee berkata, ketika beliau memohon sekatan dibuat untuk menghalang orang ramai dan media membincangkan kes Najib, Peguam Negara Tommy Thomas sendiri yang membantahnya atas sebab ia melanggar kebebasan bersuara.

"Tetapi hari ini mereka (pendakwa) kata Najib perlu berhenti bersuara. Jadi apa dasar mereka? Apa prinsip mereka?

"Ini datang daripada peguam negara sendiri untuk membuat pendirian yang tidak konsisten. Jadi anda boleh lihat ini semua langkah pihak berkuasa yang terdesak. Mereka ingin hukum Najib walau apa saja cara," katanya.

'Sangat teruja'

Ditanya berhubung pertuduhan pengubahan wang haram terhadap dirinya sendiri, Shafee berkata kes itu tidak menghilangkan kelayakannya sebagai peguam Najib.

Berhubung buku Billion Dollar Whale oleh wartawan Wall Street Journal Tom Wright dan Bradley Hope, Beliau berkata "sangat teruja" tentangnya dan menganggap sesuatu yang menarik jika ia boleh digunakan seabgai bukti.

Shafee mendakwa buku tersebut mengesahkan ahli perniagaan Low Taek Jho kemungkinan telah mengelirukan pihak-pihak berkaitan.

"Buku itu berkata demikian. Jadi sangat mungkin dalam mana-mana keadaan, hanya kerana anda bertindak dengan cara tertentu, ia tidak bermakna anda tidak dipengaruhi atau dikelirukan.

"Begitulah caranya orang kena tipu," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS