Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan diperkasakan dengan dijadikan sebagai Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang sekian lama dibawa Pakatan Harapan (HARAPAN).

Ia diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa khas kabinet mengenai antirasuah (JKKMR) di Putrajaya hari ini.

Turut menyertai sidang media adalah Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Ketua Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

"IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas yang lebhi holistik," kata Mahathir.

Difahamkan keputusan untuk mengubah EAIC kepada IPCMC dibuat selepad mendapati banyak laporan awam terhadap badan itu melibatkan salah laku polis.

Keputusan itu antara tujuh perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat hari ini dan akan dibawa ke Parlimen.

Sementara itu, Mahathir berkata Biro Pengaduan Awam (BPA) akan ditukar status kepada Ombudsman Malaysia (Ombudsman bermaksud badan rasmi atau separa rasmi yang menyiasat aduan awam terhadap isu berkaitan jentera kerajaan).

Ia bagi pengurusan aduan yang lebih efektif dan untuk itu, Akta Ombudsman akan digubal.

Beliau juga menegaskan ia akan menjadi badan bebas dan tidak akan diletakkan bawah mana-mana kementerian.

"Tugas (Ombudsman) terhad kepada memastikan jabatan kerajaan tidak menyeleweng atau terlibat rasuah.

"Orang ramai boleh meminta pembetulan daripada agensi terlibat. Jika gagal, boleh pergi ke Ombudsman," katanya.

Lihat Komen
ADS