Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan tiga lelaki, rampas 78.7 kg ganja
Diterbitkan:  Sep 21, 2018 2:39 PM
Dikemaskini: 6:50 AM

Polis percaya satu lagi satu lagi sindiket pengedaran dadah di Pulau Pinang tumpas apabila tiga lelaki termasuk dalang utama kumpulan itu diberkas selain merampas 78.7 kilogram (kg) ganja bernilai RM236,000 menerusi empat serbuan di sekitar negeri itu pada hari Rabu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Roslee Chik berkata tiga lelaki berusia 31 hingga 42 tahun dan tidak bekerja itu ditahan dalam operasi bermula 12.30 tengah malam hingga 5.10 pagi oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

"Serbuan pertama di tepi jalan di Taman Pekaka dan polis menahan seorang lelaki bersama satu ketulan mampat ganja seberat 1.05kg dipercayai sedang menunggu pelanggan dan susulan itu kami menyerbu sebuah rumah di taman yang sama dan merampas 9.05kg ganja," katanya pada sidang akhbar di George Town hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan, polis menahan seorang lagi lelaki yang berada di dalam sebuah kereta jenis Honda City di hadapan sebuah restoran nasi kandar di Juru dekat sini, sebelum menyerbu sebuah rumah di Mount Erskine di Tanjung Tokong dan menangkap dalang utama sindiket itu.

Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta Honda City lelaki terbabit, polis merampas 68 ketulan ganja seberat 68.93kg yang disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang dan but kereta itu yang telah diubah suai.

Roslee berkata berdasarkan siasatan, sindiket itu mendapatkan bekalan ganja dari negara jiran sebelum menyeludup masuk dan menjualnya di sekitar Pulau Pinang. Mereka dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak sebulan lepas.

"Polis turut menyita wang dalam akaun bank hampir RM300,000 serta sebuah kereta mewah Toyota Vellfire dan sebuah motosikal," katanya.

Beliau berkata seorang daripada tiga lelaki terbabit mempunyai tujuh rekod lampau dan kesemua mereka kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Katanya bahi tempoh Januari hingga 19 Sept, seramai 8,191 orang ditahan kerana pelbagai kesalahan termasuk mengedar dadah dan pihaknya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM190.5 juta.

"Tahun ini banyak kejayaan rampasan dadah, antara yang kami rampas ialah syabu sebanyak 2,285.8kg, ganja (877.5kg), heroin (121.8kg), ketamin (25.8kg), pil eramin 5 (3.8 juta biji), pil yaba (452,278 biji) dan pil eskstasi sebanyak 32,783 biji," katanya.

Sementara itu, polis menahan tiga lelaki kerana memiliki pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM18,500 dalam satu serbuan ke sebuah rumah di Felda Pasak, Kota Tinggi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah berkata suspek berusia 25 hingga 37 tahun itu ditahan kira-kira 10.50 pagi oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi.

"Pemeriksaan yang dijalankan menemukan satu peket plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah jenis heroin dengan berat kasar 344 gram dan sepeket seberat 100 gram disyaki dadah jenis syabu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya dadah yang dirampas itu boleh menampung kegunaan antara 300 dan 400 penagih di kawasan terbabit.

Ahsmon berkata semakan juga mendapati kesemua suspek yang positif dadah jenis metamfetamina terbabit mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan kesalahan dadah.

Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 27 Sept ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-Bernama

Lihat Komen
ADS