Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
800 kakitangan Utusan ditawar skim berhenti sukarela
Diterbitkan:  Sep 21, 2018 4:32 PM
Dikemaskini: 8:43 AM

Syarikat Utusan Melayu (M) Bhd dilaporkan bakal menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) kepada lebih separuh daripada kakitangannya.

Langkah itu lapor The Edge dibuat sebagai usaha syarikat penerbitan akhbar milik Umno itu berkenaan mengurangkan kos yang ditanggung.

Memetik sumber-sumber yang tidak didedahkan The Edge mendakwa seramai 800 orang akan ditawarkan VSS berkenaan dan untuk rekod jumlah kakitangan syarikat tersebut ialah kira-kira 1,500 orang.

Kata laporan berkenaan kakitangan Utusan Melayu yang menerima surat tawaran VSS diberi pilihan untuk menerima atau menolaknya.

Pelaksanaan VSS itu dikatakan meliputi kakitangan Utusan Malaysia, Kosmo! dan sejumlah majalah yang diterbitkan oleh syarikat tersebut seperti Mastika, Saji dan Wanita.


Baca Utusan tanggung hutang termungkir lebih RM1j


Keputusan untuk menawarkan VSS itu dicapai selepas Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dan kakitangan syarikat itu diadakan hari ini.

Abdul Aziz ialah pemimpin Umno yang menjadi anggota parlimen Kulim Bandar Baharu sehinggalah beliau kalah kepada Datuk Saifuddin Nasution Ismail pada pilihan raya umum lalu.

Utusan Melayu mempunyai sejarah panjang dan rencam sejak ia diterbitkan pada 1939. Bermula dengan media yang menjadi suara kepada orang Melayu syarikat itu mengalami krisis selepas Umno membuat langkah mengambil alih.

Antara detik yang selalu diingat mengenai sejarah Utusan Melayu ialah mogok kakitangan dan wartawannya yang menolak campur tangan politik Umno pada 1961.

Corak laporan dan pendekatan yang diambil oleh syarikat itu melalui akhbarnya sejak beberapa dekad lalu memberi kesan besar kepada keyakinan masyarakat, selain kegagalan mereka memenangi kes samah di mahkamah.

Krisis kewangan syarikat Utusan juga semakin berlarutan sehingga melibatkan pembayaran gaji serta kemudahan yang ditawarkan kepada kakitangannya.

Laporan tahunan syarikat terbabit menyatakan tanggungan hutang syarikat itu berada pada paras RM328.17 juta setakat 31 Dis tahun lalu, meningkat berbanding RM302.2 juta pada 2016.

Lihat Komen
ADS