Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS harap pengerusi baru SPR telus, laksana reformasi penuh pilihan raya
Diterbitkan:  Sep 21, 2018 6:21 PM
Dikemaskini: 10:27 AM

PAS berharap pelantikan peguam Azhar Harun sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya akan dapat membaiki kelemahan dan ketidakadilan dalam pilihan raya yang berlaku selama ini.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ia termasuk persempadanan kawasan pilihan raya dan perbezaan kerusi di bandar dan luar bandar.

"PAS sebagai parti politik yang berpengalaman dalam semua pilihan raya yang diadakan di negara ini sedia memberikan pandangan, cadangan dan kritikan membina bagi menambah baik sistem pilihan raya," katanya dalam kenyataan.

Hari ini kerajaan mengumumkan peguam veteran Azhar Azizan @ Harun, atau lebih dikenali sebagai Art Harun di media sosial, sebagai pengerusi baru menggantikan Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah yang bersara awal pada 1 Julai lalu.

Menurut kenyataan oleh ketua setiausaha negara, Azhar merupakan peguam dengan kepakaran dalam bidang pilihan raya.

Mengalu-alukan pelantikan itu, Takiyuddin berharap Azhar (kanan) akan menggalas tanggungjawab itu dengan telus, tidak berpihak dan menjalankan reformasi penuh bagi mengembalikan integriti dan keyakinan awam terhadap suruhanjaya itu.

"PAS juga berharap pengerusi SPR diberi sepenuh kuasa autonomi di bawah undang-undang tanpa gangguan dan pengaruh daripada mana-mana pihak.

"Ia dalam rangka mengurus pilihan raya yang adil, telus dan dilihat bersih daripada sebrang unsur yang boleh menimbulkan persoalan terhadap kesaksamaan dan keabsahan SPR dan pilihan raya," katanya yang juga anggota parlimen Kota Bharu.

Ketika pentadbiran BN, SPR sekian lama didakwa berpihak kepada parti pemerintah itu, antaranya dalam soal persempadanan pilihan raya, peralihan pengundi dan nama dalam daftar pemilih.

Malah salah satu siri demonstrasi utama di Malaysia iaitu BERSIH dimulakan dengan tujuan agar pilihan raya direformasikan.

Lihat Komen
ADS