Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mohd Amar: PAS, Umno belum masuk fasa mengorat pun
Diterbitkan:  Sep 21, 2018 9:57 PM
Dikemaskini: 2:00 PM

Tidak seperti tanggapan orang, hubungan PAS dan Umno setakat ini masih di peringkat awal, kata salah seorang naib presidennya.

Malah dari perspektif Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, hubungan kedua-dua parti itu belum diikuti dengan sebarang ikatan.

"Tiada apa-apa hubungan lagi antara PAS dan Umno, cuma baru duduk sekali, minum air sekali, mengorat pun belum, bertunang jauh sekali," katanya kepada media seperti dipetik harakahdaily hari ini.

Beliau yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata dalam keadaan begitu sepatutnya tiada masalah timbul.

Katanya belum ada kepastian mengenai masa depan hubungan antara PAS dan Umno.

Terdahulu Mohd Amar ditanya mengenai kemungkinan hubungan dekat kedua-dua parti mendorong bekas menteri kanan BN, Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan Umno pada 18 Sept lalu.

Ia suatu perkembangan yang mengejutkan kerana Mustapa dianggap antara tokoh paling dihormati dalam Umno dan bebas daripada sebarang dakwaan penyelewengan atau salah guna kuasa.

Tak biasa susah

Pengunduran bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu dibuat selang sehari selepas muktamar PAS di Kuala Terengganu berakhir.

Muktamar berkenaan mencatat sejarah tersendiri apabila turut dimeriahkan dengan kehadiran Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta pemimpin kanan lain parti berkenaan.

PAS pula menyatakan kesediaan mereka untuk menghantar wakil bagi merancakkan Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang adakan diadakan selama dua hari mulai 29 Sept ini.


Baca Mustapa Mohamed umum keluar Umno


Untuk rekod kedua-dua parti itu mempunyai sejarah permusuhan yang panjang sehinggalah ia mengendur setahun dua ini dengan pelaksanaan dasar politik matang dan sejahtera PAS.

Hubungan akrab PAS dan Umno sering dipersenda pengkritik seperti hubungan sepasang kekasih yang melalui proses percintaan, merisik, memindang dan bersanding.

Mohd Amar berkata tanpa sebarang ikatan rasmi tuduhan musuh PAS bahawa parti itu sudah bergabung dengan Umno adalah meleset sama sekali.

Sebaliknya kata Mohd Amar pemimpin Umno bertindak meninggalkan parti itu kerana mereka tidak pernah berasa susah dan perit menjadi pembangkang.

"Sebab mereka ini sudah biasa hidup senang (sebagai) kerajaan, dia tiada pengalaman jadi pembangkang.

"Apabila jadi pembangkang, ini sudah perit sebagaimana dirasai PAS," katanya.

Lihat Komen
ADS