Kerajaan bersetuju untuk memberikan bonus insentif berjumlah RM97.091 juta kepada peneroka Felda yang layak tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Katanya, bonus yang dicadangkan diberi berdasarkan produktiviti hasil minyak sawit dan getah itu, akan dibayar kepada 77,882 peneroka berkenaan pada hujung bulan ini.

"Bayaran bonus ini mula dibuat pada tahun lalu kepada peneroka yang membawa hasil mereka kepada pengurusan Felda dan menyertai program tanam semula Felda," katanya.

Pada kali ini, kata Najib, pemberian bonus dibuat berdasarkan produktiviti peneroka melalui `paysheet' mereka bagi tempoh Januari hingga September lalu.

Ketika mengumumkan perkara ini selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Felda 2005, beliau berkata, peneroka tanah rancangan kelapa sawit akan menerima sejumlah RM21.779 juta manakala peneroka getah RM17.619 juta.

Katanya, pembayaran kategori pertama adalah bagi peneroka yang menamam kelapa sawit, dan pembayaran dibuat bagi hasil keluaran di antara lima tan metrik sehektar hingga lebih 15 tan metrik sehektar.

"Bagi getah, pembayaran dibuat bagi hasil keluaran berjumlah 100 kilogram sektar hingga lebih 1,300 kilogram sehektar," katanya.

Bayar melalui KPF

Menurut laporan Bernama , peneroka yang layak akan menerima bayaran minimum RM400 dan maksimum RM1,500.

Bagi kategori kedua, bayaran insentif RM1,500 disediakan kepada setiap peneroka yang menyertai tanaman semula dengan Felda Techno Plant Sdn Bhd, mengambil bahagian dalam rancangan tanah pemulihan Felda dan menjadi peserta peneroka Tanah Rancangan Chuping, Perlis.

Pembayaran akan dibuat dalam bentuk tunai dan unit saham dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Bagaimanapun, kata Najib, seramai 36,813 lain tidak layak menerima bayaran bonus itu kerana tidak menghantar "hasil langsung" kepada Felda selepas merasakan hasil keluaran mereka kurang daripada jumlah yang telah ditentukan.

Kumpulan peneroka lain yang tidak layak menerima bayaran bonus itu ialah mereka yang menguruskan kebun sendiri, peserta peneroka Felda baru yang menyertai semula Felda mulai November 2005 dan peneroka tanah rancangan yang tidak diuruskan Felda.

Kerajaan, katanya, berharap pembayaran bonus itu akan meningkatkan lagi iltizam dan semangat para peneroka untuk menjayakan kebun mereka.

"Pembayaran bonus diharap akan mendorong mereka untuk meningkatkan lagi produktiviti," kata Najib lagi.