Wakil tunggal MCA di Dewan Rakyat menyatakan kesanggupannya menyokong usaha kerajaan melakukan reformasi institusi negara sekarang.

Menurut Datuk Seri Dr Wee Ka Siong walaupun beliau berstatus wakil pembangkang namun dengan sifat yang konstruktif sokongan itu akan diberikan - dengan syarat ia membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.

Membuat kenyataan itu di media sosial, Wee yang juga timbalan presiden MCA berkata cadangan Putrajaya mahu menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Kata Wee penubuhan IPCMC itu sudah disyorkan pada 13 tahun lalu dan menjadi satu daripada 125 cadangan dikemukakan suruhanjaya siasatan diraja yang ditubuhan untuk meningkatkan keberkesanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Imej PDRM perlu dipertingkatkan segera demi memulihkan keyakinan awam terhadap polis," katanya.

Menurut anggota parlimen Ayer Hitam itu lagi beliau juga menyambut baik cadangan kerajaan menubuhkan Ombudsman Malaysia bagi menggantkan Biro Pengaduan Awam.

Ombudsman merujuk kepada badan rasmi atau separa rasmi yang menyiasat aduan awam terhadap isu berkaitan jentera kerajaan.

"Diharapkan badan baru ini diterajui dan melibatkan individu-individu yang berintegriti supaya dapat berfungsi tanpa campur tangan pihak eksekutif demi memperkukuhkan tadbir urus kerajaan," katanya.

Pengumuman mengenai IPCMC dan Ombudsman Malaysia itu dibuat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

"IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas yang lebih holistik," kata Dr Mahathir.

Wee turut bersetuju supaya laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dibentang dan dibahaskan di parlimen.

"Semoga pada sesi parlimen akan datang yang bermula pada 15 Okt ini semua anggota parlimen diberi gambaran jelas tenyang penambahbaikan yang akan dibawa kerajaan," katanya.