Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Saya agak hairan perkembangan yang berlaku sejak beberapa minggu kebelakangan ini apabila ada dua kumpulan dalam kalangan ahli parti politik mengambil pendekatan jauh berbeza tentang Umno.

Pihak pertama bertindak menjauhkan dan meninggalkan Umno - yang merupakan tindakan yang bijak serta tepat.

Mereka ialah Datuk Seri Mustapa Mohamed, seorang tokoh politik yang dihormati ramai walaupun semasa masih dalam Umno.

Seorang lagi yang mengambil tindakan sama seperti Mustapa ialah Datuk Seri Anifah Aman dari Sabah.

Walaupun sedikit terlambat tetapi tindakan tersebut sememangnya bijak dan tepat kerana Umno terlalu banyak terpalit dengan skandal dan rasuah yang semakin terdedah dari sehari ke sehari.

Misalnya skandal 1MDB dan 'kehilangan' wang cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis pula menghuraikan lebih banyak salah laku Datuk Seri Najib Razak dan pihak yang ada kaitan dengan Umno.

Tindakan pihak berkuasa Indonesia, Singapura, AS dan negara lain di Barat menambah lagi bukti kebobrokan Umno.

Umno yang sama

Justeru langkah Mustapa, Anifah dan beberapa pemimpin lain - sama ada sudah atau bakal - meninggalkan Umno adalah langkah yang tidak pelik.

Tetapi di sebalik itu ada langkah yang amat menghairankan, iaitu langkah PAS menjemput presiden dan pemimpin kanan Umno ke muktamar mereka baru-baru ini.

Kalau dulu PAS pernah mengunakan istilah "mendukung biawak hidup" kepada sesiapa saja yang mendampingi UMNO, hari ini siapakah yang sebenarnya mendukung dan memeluk biawak hidup itu?

Biawak tersebut hari ini sebenarnya dalam keadaan yang amat buruk dan parah keadaannya.

Bukankah selepas setiap pilihan raya sepatutnya pihak yang tidak berjaya - termasuk PAS - perlu menghormati pilihan majoriti rakyat yang mengundi kerajaan baru?

Bukankah parti itulah yang dipecat rakyat selepas memerintah lebih 60 tahun dan mereka juga pernah ditentang PAS juga?

Dengan mendakap serta mendukung Umno ia menunjukan PAS tidak mengambil berat isu rasuah dan kezaliman yang diamalkan oleh parti berkenaan.

Tidak cukupkah lagi pendedahan oleh polis, SPRM dan pihak berkuasa beberapa negara asing yang bertindak ke atas skandal berkaitan Najib?

Memanglah PAS menyatakan mereka perlu berkerjasama dengan Umno demi menjaga agama dan bangsa. Tetapi bukankah Umno itulah yang telah menggadai sebahagian besar ekonomi Malaysia dan Melayu kepada China melalui pelbagai projek seperti landasan kereta api, pelabuhan, hartanah dan sebagainya?

Itu semua adalah penjajahan ekonomi moden hari ini.

Ada tanda tanya besar

Kerajaan China juga menindas, membunuh dan menzalimi Muslim Uighur di Xinxiang. Umno pula menghantar delegasinya meraikan konvensyen Parti Komunis China.

Di mana semangat solidariti sesama Muslim yang dizalimi? Lebih ironi lagi apabila pada masa sama Umno dan PAS menyerang DAP sebagai sebuah parti Cina.

Pada masa PAS mendampingi Umno untuk berkerjasama tidak pula ada mereka menegur kepincangan hal-hal ekonomi dan kezaliman, sebaliknya kelihatan menerima sepenuhnya pendirian tersebut.

Apakah hasrat pimpinan PAS sebenarnya?

Masalah ekonomi dalam negara dan politik sebenarnya lebih besar berbanding isu-isu perkauman yang dikipas PAS dan Umno agar terus berbara.

Perlu diingat, ketika rakyat mendesak supaya Najib berundur, PAS pernah meminta agar beliau yang ketika itu masih menjadi perdana menteri diberi peluang menghabiskan penggalnya.

Sekarang orang yang mahu diberi peluang oleh PAS itulah sedang berdepan dengan lebih 20 tuduhan jenayah di mahkamah.

Umno yang didampingi rapat PAS sekarang itulah yang meninggalkan hanya 12 peratus tanah rizab Melayu selepas 60 tahun memerintah, selain merosakkan kewangan Felda, MARA dan Tabung Haji.

Sangat menghairankan untuk melihat bagaimana PAS menjadi begitu tertarik kepada Umno.

Sebenarnya itulah persoalan yang membentuk tanda tanya begitu besar dan sedang menghantui pemikiran pengikut serta ahli PAS hari ini.


DATUK RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD ialah anggota Dewan Negara, pengerusi Pakatan Harapan Terengganu dan timbalan menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS