Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemilihan PKR Perak, Perlis ditangguh susulan masalah e-undi

PEMILIHAN PKR | Selepas masalah yang timbul ketika pemilihan PKR di Kedah dan Pulau Pinang hari ini, pemilihan di Perak dan Perlis yang dijadual bermula esok ditangguhkan.

Ketua Koordinator Pemilihan Perak Abd Rahim Sabli dalam satu kenyataan ringkas mengumumkan pemilihan di negeri itu ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

"Saya selaku ketua koordinator pemilihan dengan dukacita mengesahkan penangguhan pemilihan di seluruh negeri sehingga tarikh baru yang akan dimaklumkan kemudian," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PKR Perlis Faisol Abdul Rahman mengesahkan kepada Malaysiakini berhubung penangguhan bagi negeri itu.

"Saya sudah bercakap dengan Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Ismail Yusoff berhubung penangguhan.

"Sistem pengundian perlu dikemaskini kerana ada begitu banyak masalah," katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pengerusi JPP Adzman Hedra berkata setakat ini perkara itu belum dimuktamadkan kerana jawatankuasa itu hanya akan bermesyuarat malam ini.

Beliau juga menafikan wujudnya sebarang masalah dalam sistem e-undi melalui pemerhatiannya di Pulau Pinang.

"Sepanjang hari saya pantau sistem tiada masalah. Tiada yang sangkut, atau undi yang tak masuk. 13 cabang di Pulau Pinang sudah keluar keputusan. Saya tak tahu apa masalah di Kedah.

"Di Pulau Pianng selesai petang tadi. Tiada gaduh, bunuh, tembak menembak. Aman," katanya kepada Malaysiakini.

Hari ini pemilihan di lapan daripada 15 cabang PKR Kedah ditangguh selepas masalah dalam sistem e-undi mencetuskan ketegangan di kalangan anggota parti.

Polis berkata telah menahan empat individu susulan kekecohan sehingga mendatangkan kecederaan di PKR Cabang Merbok di Sungai Petani.
 

Lihat Komen
ADS