Dr M: Pemimpin yang baik mampu buat keputusan sendiri
Pemimpin yang baik adalah yang berpengalaman, berilmu dan berupaya membuat keputusan sendiri, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pemimpin yang baik adalah yang berpengalaman, berilmu dan berupaya membuat keputusan sendiri, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dengan memiliki kualiti tersebut, katanya, seseorang pemimpin akan dapat membawa pengikutnya mencapai kejayaan lebih gemilang.
"Pemimpin berpengalaman akan mengelak daripada membuat keputusan yang tidak betul manakala tanpa ilmu pengetahuan, seseorang pemimpin tidak akan mampu membuat keputusan," katanya dalam syarahan sulung Siri Syarahan Tun Dr Mahathir Uniten bertajuk "Kepimpinan Dalam Pengurusan Krisis" anjuran Universiti Tenaga Nasional di Bangi hari ini.
Dr Mahathir berkata, pemimpin yang berilmu dan berpengalaman akan dapat menggunakan fikirannya untuk menganalisis keadaan sebelum membuat sesuatu keputusan.
Katanya, seseorang pemimpin juga tidak boleh melupakan pengajaran yang terdapat dalam sejarah.
"Jika seseorang itu tahu tentang sejarah, beliau akan dapat mengelak daripada melakukan kesilapan seperti masa lalu," kata beliau.
Tun Mahathir berkata kepimpinan sempurna tidak wujud kerana semua keputusan mempunyai ketidaksempurnaannya.
Kenalpasti krisis
"Persoalannya ialah sama ada ketidaksempurnaan ini lebih atau kurang daripada hasil yang diharapkan. Sekiranya ketidaksempurnaan ini hanya sedikit, maka hasilnya bolehlah dianggap positif," katanya.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata seseorang pemimpin juga perlu mampu mengenalpasti krisis yang bakal berlaku.
Katanya seseorang pemimpin perlu berupaya melihat krisis yang bakal terjadi dan cepat membuat keputusun bagi menghalangnya daripada berlaku sepenuhnya.
"Bagi saya, saya cuba mengenal pasti krisis yang bakal berlaku dengan meneliti laporan dan maklum balas secara terperinci.
"Cara terbaik ialah dengan menunjukkan prestasi sesuatu indeks melalui graf.
"Keadaan berada dalam keadan baik jika graf menunjukkan satu garisan lurus dan garisan melengkung akan wujud apabila keadaan tidak berada dalam keadaan baik," katanya.
Dr Mahathir berkata semasa berlaku krisis kewangan di Asia pada 1998, kerajaan membuat keputusan sendiri bagi menanganinya dengan baik.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.