Rahim Thamby Chik setuju pandangan Dr Mahathir
Ahli Majls Tertinggi (MT), Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik bersetuju dengan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa ahli, pemimpin Umno serta ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) perlu bersuara mengetengahkan masalah rakyat ke peringkat atasan.
Ahli Majls Tertinggi (MT), Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik bersetuju dengan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa ahli, pemimpin Umno serta ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) perlu bersuara mengetengahkan masalah rakyat ke peringkat atasan.
Katanya, tidak ada sebab mengapa ahli Umno dan ahli Parlimen BN, termasuk Umno, perlu takut bersuara kerana mereka dipilih oleh rakyat untuk mewakili mereka.
"Isu rakyat perlu diberi perhatian oleh ahli Umno dan ahli Parlimen kerana itu yang rakyat mahu dari mereka," tegas bekas Ketua Pemuda Umno itu ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa ahli Umno dan ahli Parlimen BN tidak berani bersuara.
Dr Mahathir berkata, ahli Umno tidak berani tampil walaupun tahu ada perkara tidak betul berlaku dalam isu permit import (AP).
Abdul Rahim yang juga bekas Ketua Negeri Melaka itu berkata, ahli Umno dan ahli Parlimen kerajaan perlu tampil tanpa takut menegur kerajaan jika sesuatu isu itu memberi keuntungan kepada rakyat dan negara.
"Umno sebagai tonggak kepada Barisan Nasional perlu bertindak sebagai pengimbang kepada kerajaan," katanya ketika dihubungi malaysiakini .
Rahim juga menegaskan, kerajaan pula perlu memberi perhatian kepada segala kritikan itu supaya demokrasi yang sihat terus berjalan dan rakyat menikmati faedahnya.
Puji ahli Parlimen
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail pula berkata, prestasi ahli Parlimen amat membanggakan kerana kebelakangan ini mereka semakin lantang membincangkan isu-isu kepentingan ramai.
"Saya puas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh ahli Parlimen, mereka berani mengenengah pelbagai isu tanpa takut," katanya lagi.
Bagaimanapun, katanya, ada ahli dan pemimpin Umno takut bersuara mengenai isu kepentingan rakyat kerana mahu menjaga kepentingan peribadi.
Katanya, sindrom bisu telah lama menghantui ahli dan pemimpin Umno walaupun mereka tahu sesuatu isu itu betul.
"Budaya mengampu dalam Umno memang kuat...untuk menjaga jawatan, kontrak dan pangkat dalam parti dan kerajaan, " katanya.
Beliau mendakwa, budaya mengampu ini dapat dilihat dalam perhimpunan agung Umno kerana ada pengerusi Umno negeri yang memilih pembahas yang mengikut telunjuk mereka.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.