Khairy Jamaluddin menekankan kepentingan perhimpunan agung parti Umno (PAU) Sabtu ini bagi memulihkan Umno.

“Perhimpunan agung Umno hujung minggu ini adalah turning point (detik perubahan) untuk parti kita.

“Jika PAU tidak berjaya memberi hala tuju yang jelas kepada ahli parti dan rakyat, saya khuatir lebih ramai yang bakal keluar dari Umno,” tulis bekas ketua Pemuda Umno di Twitter.

Beliau berkata demikian selepas Ketua Umno bahagian Cheras yagn juga setiausaha Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengumumkan keluar parti hari ini.

Tindakan drastik pemimpin lantang itu dibuat selepas enam anggota parlimen Umno berbuat demikian pasca pilihan raya umum 9 Mei lepas.

PAU yang bersidang pada 29 Disember depan adalah yang pertama bagi Umno setelah bergelar pembangkang.